KIM Pan-gon. FOTO IHSAN FAM
KIM Pan-gon. FOTO IHSAN FAM
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Daripada 13 aksi di luar negara sejak Kim Pan-gon membimbing pasukan pada awal 2022, skuad Harimau Malaya hanya mampu melakar tiga kemenangan sekaligus situasi itu nyata membimbangkan pengendali dari Korea Selatan itu menjelang aksi menentang Kyrgyzstan di Bishkek, pada 6 Jun ini.

Berdasarkan semakan Arena Metro, skuad kendalian Pan-gon sudah mengharungi 31 perlawanan secara keseluruhan sejak dua tahun lalu membabitkan aksi bertaraf kejohanan, aksi peringkat kelayakan mahupun perlawanan persahabatan antarabangsa berstatus Tier 1 dengan rekod di luar cukup mengerikan.

Daripada jumlah itu, pasukan kebangsaan sudah bermain 13 perlawanan di luar negara termasuk ketika beraksi di saingan Piala Asia di Qatar pada Januari lalu, Piala AFF 2022, Kelayakan Piala Dunia 2026, Kelayakan Piala Asia 2023 dan aksi persahabatan.

Tiga kemenangan di luar yang berjaya dicatatkan ketika debut pertama Pan-gon selaku jurulatih Malaysia apabila mudah menewaskan Filipina dengan 2-0 di Stadium Nasional Singapura pada 23 Mac 2022.

Kemenangan kedua dan ketiga diraih ketika membenam Myanmar 1-0 di Stadium Thuwunna pada aksi peringkat kumpulan Piala AFF 2022 serta kejayaan menewaskan Taiwan juga 1-0 di tempat lawan dalam pusingan Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027, November tahun lalu.

Biarpun berjaya mengikat beberapa pasukan handalan Asia dalam aksi persahabatan Tier 1 seperti China (1-1) dan Syria (2-2) selain mengejutkan Korea Selatan (3-3) di Piala Asia Qatar Januari lalu, namun enam kekalahan ditempuhi sebelum ini memberi gambaran kesukaran yang mungkin dilalui pasukan apabila bertandang ke Bishkek nanti.

Menurut Pan-gon, beliau mengharapkan keajaiban dan kejutan daripada anak didiknya sambil mengakui Kyrgyzstan bukanlah lawan mudah biarpun skuad negara berjaya membenam lawan 4-3 di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) pada aksi pertama Kumpulan D Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 pada hujung tahun lalu.

Ujarnya lagi, kedudukan ranking Fifa skuad The White Falcons di tangga ke-100 itu juga menandakan kelebihan dimiliki lawan berbanding Harimau Malaya yang jauh di posisi 138 dunia ketika ini.

"Seperti kita semua tahu kedudukan ranking mereka 100, di mana mereka adalah pasukan kedua terkuat di Asia Tengah selepas Uzbekistan yang pertama dan Kyrgyzstan yang kedua.

"Kita pun sedar mereka pasukan yang kuat dan kita bertuah dapat mencatat kemenangan (di SNBJ)...kita ketinggalan tiga gol dan akhirnya pemain kita bangkit memenanginya dengan 4-3. Itu menunjukkan semangat juang tinggi pemain yang berjuang hingga tiupan wisel terakhihr.

"Tapi kita kena hormati kedudukan ranking 100 itu dan juga ia perlawanan di tempat lawan. Semua tahu rekod (skuad Harimau Malaya) beraksi di tempat lawan tidak begitu baik.

"Kita main dan hanya menang dua sahaja ketika menentang Myanmar dan Taiwan. Jadi kita tidak begitu kuat ketika bermain di luar. Namun kita mengharapkan elemen kejutan dan keajaiban mampu tercipta bagi membanggakan penyokong negara," katanya.

Skuad negara sememangnya memerlukan tiga mata penuh di Bishkek bagi memperbaiki kedudukan Kumpulan D sebelum menuai tiga mata berikutnya apabila berdepan Taiwan di SNBJ lima hari kemudian sekaligus layak automatik ke Piala Asia 2027 di Arab Saudi lebih awal selain mara buat pertama kalinya ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Mei 2024 @ 12:06 PM