Faris Fuad

Klang: Seramai 20 lelaki didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini kerana menjadi ahli kumpulan jenayah terancang Geng TR sejak lima tahun lalu.

Individu itu, N Nithiyan, 39; S Logan, 32; R Parthipan, 32; M Keshava Nair; 30; A Balamurugan, 40; V S Wilbert, 46; M Ramakrishnan, 45; E Mohan, 34; M Thanasekaran, 44 dan Edward Liew, 49.

Turut didakwa, S Manoraj, 28; M Amaran, 30; S Hemanathan, 31; K Thana Seelan, 38; K Ravishankar, 43; Muhammad Razi Abdullah, 51; G Deeneskumar, 29; K Venaigaraj, 32; A Kogilan, 26 dan M Tineshkumar, 26.

Bagaimanapun, semua tertuduh hanya mengangguk faham sejurus pertuduhan dikemukakan terhadap mereka di hadapan Hakim Ahmad Faizadh Yahya.

20 individu dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Klang atas pertuduhan menyertai kumpulan jenyah terancang, Geng TR sejak lima tahun lalu. FOTO Faiz Anuar
20 individu dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Klang atas pertuduhan menyertai kumpulan jenyah terancang, Geng TR sejak lima tahun lalu. FOTO Faiz Anuar

Tiada pengakuan direkodkan daripada semua tertuduh kerana kes mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) yang di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa menjadi ahli Geng TR di sebuah restoran di Jalan Bagan Sungai Janggut, Jeram, dekat Kuala Selangor pada November 2019 hingga 2 Mei lalu.

Kesalahan mengikut Seksyen 130V (1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara antara lima hingga 20 tahun jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Shafiq Hasim, Lina Hanini Ismail dan Syafinas Shabudin.

Hakim kemudian menetapkan 26 Jun ini untuk sebutan semula kes bagi pemindahan prosiding ke Mahkamah Tinggi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Mei 2024 @ 12:20 PM