KANAK-KANAK Palestin berehat di pangkuan orang dewasa ketika dalam perjalanan melarikan diri dari Rafah, selatan Gaza. FOTO Reuters
KANAK-KANAK Palestin berehat di pangkuan orang dewasa ketika dalam perjalanan melarikan diri dari Rafah, selatan Gaza. FOTO Reuters
AFP

Gaza: Seorang pegawai pertahanan awam di Gaza yang dikendalikan Hamas berkata, serangan baharu Israel ke atas kem pelarian di barat Rafah pada Selasa, membunuh sekurang-kurangnya 21 orang.

Israel menafikan melakukan serangan terbaharu yang dilaporkan itu, berlaku sebelum mesyuarat Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) untuk membincangkan satu serangan di Rafah pada Ahad lalu yang menurut pegawai Palestin membunuh 45 orang.

Walaupun kebimbangan semakin meningkat mengenai korban awam dalam perang ke atas Hamas, Israel tidak menunjukkan tanda-tanda perubahan dan usaha antarabangsa yang bertujuan untuk mendapatkan gencatan senjata, masih terhenti.

Dalam pertumpahan darah terbaharu, pegawai agensi pertahanan awam Gaza, Mohammad al-Mughyyir berkata, 21 orang terbunuh dalam serangan yang menyasarkan khemah orang yang dipindahkan di barat Rafah.

Hamas berkata, serangan Israel di kawasan itu menyebabkan berpuluh-puluh syahid dan cedera.

Bagaimanapun, tentera Israel menolak dakwaan itu berkata, ia tidak menyerang kawasan kemanusiaan yang ditetapkan di Al-Mawasi.

Di Rafah, penduduk dan sumber keselamatan Palestin berkata, kereta kebal Israel kini menembusi pusat bandar selatan itu.

"Orang ramai kini berada di dalam rumah mereka kerana sesiapa yang bergerak ditembak oleh dron Israel," kata seorang penduduk, Abdel Khatib.

Mesyuarat tergempar Majlis Keselamatan PBB dijangka membincangkan serangan di Rafah pada Ahad lalu.

Menjelang mesyuarat berkenaan, tentera Israel berkata, senjata digunakan dalam serangan itu tidak mungkin menyebabkan kebakaran di kem berkenaan.

"Amunisi kami sahaja tidak mungkin menyalakan api sebesar ini," kata jurucakapnya, Laksamana Muda Daniel Hagari.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Mei 2024 @ 12:32 PM