INA Naim.
INA Naim.
Zaara Talita

Kuala Lumpur: "Saya ada mimpikan arwah (Suhaimi Saad) dan rasanya sangat seronok. Tiada yang buat saya rasa sedih. Bila bangun dari tidur itu saya tersenyum."

Demikian kongsi penyanyi Ina Naim yang berkesempatan melepaskan rasa rindu bertemu arwah suaminya, Suhaimi Saad dalam mimpi.

Menurut Ina atau pemilik nama penuh Nordiana Mohd Naim, lebih melapangkan dadanya kerana wajah arwah suaminya juga dilihat bersih dan sentiasa tersenyum.

"Empat kali saya mimpikan arwah berada dalam keadaan dan posisi yang sama. Situasinya di meja makan, ada segelas air depan dia.

"Ketika itu dia tundukkan muka dan senyum. Muka arwah macam orang arab, sangat bersih, putih, bercahaya. Bukan itu saja, malah pada bahagian pipi arwah juga boleh kelihatan urat-urat," kata Ina yang berkongsi mengenai perkara itu ketika melakukan sesi siaran langsung di TikTok baru-baru ini.

Tambah Ina, selain kerinduan terhadap arwah suami terubat, dia turut tidak putus mendoakan Suhaimi.

"Setiap kali terjaga saya akan bacakan doa untuknya. Kebanyakan saya mimpi, memang arwah tidak bercakap dengan saya. Pandangan dia pun tidak lihat muka atau mata saya. Tunduk sahaja." katanya.

Terdahulu, kesihatan Suhaimi atau nama sebenarnya Mohd Suhaimi Saad dilaporkan merosot sejak awal Oktober tahun lalu selepas mengalami cirit-birit sehingga susut berat badan sebanyak 20 kilogram.

Selepas enam hari ditidurkan dan mendapatkan rawatan, Suhaimi disahkan meninggal dunia jam 7.40 malam pada 15 November di Unit Rawatan Rapi (ICU), HSI akibat jangkitan kuman di paru-paru.

Suhaimi berkahwin dengan Ina pada 12 Ogos 2007 dan dikurniakan empat cahaya mata iaitu Ehmad Hadie Elfardie, Sallman Elkhoyri, Phyrosh Elfadwah dan Nur Layla Elghufrony.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Mei 2024 @ 12:31 PM