M Nasir menerima Anugerah Persembahan Lagu Melayu Terbanyak dan Anugerah Pencipta Dengan Pendapatan Tertinggi pada Anugerah MACP 2023 di Intercontinental Hotel Kuala Lumpur. FOTO AZHAR RAMLI
M Nasir menerima Anugerah Persembahan Lagu Melayu Terbanyak dan Anugerah Pencipta Dengan Pendapatan Tertinggi pada Anugerah MACP 2023 di Intercontinental Hotel Kuala Lumpur. FOTO AZHAR RAMLI
Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: Lagu popular Tiara ciptaan Datuk M Nasir pada 1991 yang dinyanyikan kumpulan Kris membantu beliau kembali merampas trofi Pencipta Dengan Pendapatan Tertinggi yang dimenangi Ezra Kong tahun lalu di Anugerah Badan Perlindungan Hak Cipta Muzik Berhad (MACP) 2023 yang berlangsung, malam tadi.

Menerusi lagu sama, M Nasir turut memenangi trofi Persembahan Lagu Melayu Terbanyak, manakala Luncai Emas Sdn Bhd turut merampas kembali trofi Penerbit Tempatan Dengan Pendapatan Tertinggi daripada MVM Production Sdn Bhd yang mendominasi sebelum ini.

M Nasir ketika ditemui berkata, beliau tidak menjangkakan kembali merampas trofi itu daripada Ezra.

Katanya, semuanya disebabkan populariti lagu Tiara yang dinyanyikan semula penyanyi Indonesia, Raffa Affar sekali gus turut mempopularkan semula kumpulan Kris dalam kalangan peminat.

"Puncanya satu lagu itu yang kembali popular. Ia menaikkan semula keseluruhan pendapatan saya. Tontonan di sana lebih dari 200 juta.

"Sekarang pemasaran dah tahap lain. Saya menggalakkan pencipta baru melihat sasaran yang begini. Radio dan TV masih boleh tapi ada perubahan lain.

"Pencipta muda harus mengambil peluang dengan kepesatan teknologi pada ketika ini untuk menjalin jaringan pendengar yang baharu terutama dari negara jiran," katanya.

Menurutnya, sekarang kita perlu memikirkan pasaran terlebih dulu dan tiada halangan dari segi kreativiti untuk menyesuaikan sesuatu lagu dengan kehendak pasaran termasuk di negara jiran.

"Dalam situasi dunia tanpa sepadan ini kita juga kena gunakan rangkaian usaha sama bagi menaikkan sesebuah lagu," katanya.

Sementara itu, Universal Music Publishing Sdn Bhd mengekalkan kemenangan menerusi kategori Penerbit Dengan Pendapatan Tertinggi.

Penyanyi dan komposer berbakat besar, Reedzwann yang popular menerusi lagu Adakah Ini Mimpi pula meraih trofi Komposer Muda Berpotensi.

MACP turut memilih Allahyarham JS Kevin atau Zul Adnan Razali yang banyak menghasilkan lagu untuk kumpulan XPDC dan kumpulan rock lain sebagai penerima Anugerah Nadi Cipta sebagai menghargai bakti dan sumbangannya terhadap perkembangan industri muzik tanah air.

Sementara itu, lagu A Lai Si Jia Hai Wan ciptaan dan penulis lirik oleh Firdhaus dan Li Kang Ning memenangi kategori Persembahan Lagu Cina Terbanyak.

Bagi kategori Lagu Tamil Terbanyak dimenangi Perak Khule, ciptaan dan lirik oleh Krish K.

Kategori Persembahan Lagu Inggeris Terbanyak menjadi milik lagu Stay Away ciptaan dan lirik oleh Zhe Kamil & Guccimith.

Lagu Cinta Sampai Mati terbitan Luncai Emas Sdn Bhd muncul Persembahan Lagu Luar Negara Terbanyak.

Lagu Pendapatan Luar Negara Tertinggi pula menjadi milik lagu Ke Zai Wo Xin Di De Ming Zi ciptaan dan lirik olej Xu Yuan Ting dan Jia Wang.

Sementara itu, Aepul Roza dari kumpulan Drama Band pula dianugerahkan Pencipta Terbaik TikTok bagi lagu Drama.

Majlis Anugerah MACP sempena sambutan ke-33 tahun turut diserikan dengan persembahan daripada Liza Aziz, Marsha Milan, Hazama, Ruffedge dan ramai lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Disember 2023 @ 10:57 AM