HAMIDIN (dua dari kanan) dan  Kim Swee  (kanan) pada majlis meraikan skuad Harimau Malaysia dan sidang media senarai penuh pemain  untuk kejohanan Piala Suzuki AFF 2016, semalam.
HAMIDIN (dua dari kanan) dan Kim Swee (kanan) pada majlis meraikan skuad Harimau Malaysia dan sidang media senarai penuh pemain untuk kejohanan Piala Suzuki AFF 2016, semalam.
Aziman Rosdi

Petaling Jaya: Aksi di pentas final Piala AFF 2016 tetap menjadi impian skuad Harimau Malaysia dengan fokus utama untuk melepasi cabaran getir saingan Kumpulan B di Yangon, Myanmar, yang bermula Ahad ini.

Menurut Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin, bukan mustahil untuk skuad kendalian Datuk Ong Kim mengulangi pencapaian dua tahun lalu.

“Kita fokus satu demi satu perlawanan. Kita mahu mengutip tiga mata pada perlawanan pertama menentang Kemboja. Strategi kita untuk ke separuh akhir dulu tapi sasaran memang final,” katanya yang juga pengurus pasukan ketika sidang media pengumuman skuad Harimau Malaysia semalam.

Pencapaian terbaik Harimau Malaysia di kejohanan bola sepak terbesar di rantau Asia Tenggara ini adalah muncul juara edisi 2010 ketika di bawah kendalian Datuk K Rajagobal.

Skuad kebangsaan hampir mengulangi kegemilangan itu di bawah bimbingan Dollah Salleh, namun mereka tewas di tangan Thailand menerusi agregat 3-4.

“Harapan saya tetap sama seperti pasukan dua tahun lalu yang layak ke final. Jika semua pemain menunjukkan komitmen tinggi, saya percaya kita boleh lakukan.

“Saya harap pemain seperti Safee Sali dan Mat Yo (Norshahrul Idlan Talaha) mampu menjadi senjata kita di sana,” kata Hamidin.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 November 2016 @ 9:04 AM