HAMIDIN MOHD AMIN
HAMIDIN MOHD AMIN
Aziman Rosdi


PETALING JAYA: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tetap tidak berganjak dengan sasaran awal untuk melihat skuad Harimau Malaya melangkah ke final Piala AFF bulan depan meskipun prestasi skuad kendalian Tan Cheng Hoe masih belum meyakinkan.

Menurut Presidennya Datuk Hamidin Mohd Amin, masih ada ruang untuk Cheng Hoe memperbaiki prestasi pasukan selepas tewas 0-1 di tangan Kyrgyzstan dalam aksi persahabatan antarabangsa di Melaka semalam.

“Kadang-kadang dalam bola sepak kita sukar nak faham, pasukan Datuk Ong Kim Swee (skuad Bawah 23 tahun) kalahkan Korea Selatan di Jakarta dan kita hanya ada dua peluang tapi kita jaringkan dua gol untuk menang.

“Semalam kita ada 15 peluang untuk jaringkan gol tapi tak boleh, akhirnya kita kalah. Tapi kita tidak boleh sekadar lihat persembahan di dalam padang kerana keputusan juga mustahak.

“Kita tunggu perlawanan dengan Maldives dan Piala AFF, kita kena bagi ruang kepada Cheng Hoe.

“Dulu Nelo (Vingada) tak pernah menang dan sekarang (Cheng Hoe) ada empat menang tiga kalah dan satu seri, jadi ada peningkatan,” katanya.

Hamidin sebelum itu melancarkan Program Diploma Eksekutif Pengajian Bolasepak serta menyerahkan bendera Malaysia kepada skuad UiTM yang akan bertanding di Kejohanan Persekutuan Bolasepak Universiti Asia 2018 di Jinjian China pada 29 Oktober hingga 11 November.

Skuad kendalian Cheng Hoe kini dalam fasa persiapan terakhir dan akan berjumpa Maldives di Stadium Nasional Bukit Jalil, pada 3 November sebelum mengharungi kempen Kumpulan A Piala AFF menentang Kemboja, Laos, Vietnam dan Myanmar, bermula 8 November.

Bagaimanapun FAM tidak akan bersikap terburu-buru untuk mengambil tindakan terhadap jurulatih andai sasaran diletakkan itu gagal dicapai.

“Saya sudah umumkan dulu lagi, sejak dipilih sebagai presiden, sasaran untuk Sukan SEA tahun depan dan Piala AFF adalah final, tapi bukan bila tak masuk saya akan pecat beliau (jurulatih). Kita ada analisa kita sendiri nanti,” kata Hamidin.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Oktober 2018 @ 7:15 PM