PEMAIN Vietnam (kanan) meraikan kejayaan selepas menumpaskan Malaysia pada perlawanan akhir kedua Piala AFF 2018 di Stadium My Dinh Vietnam, semalam. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
PEMAIN Vietnam (kanan) meraikan kejayaan selepas menumpaskan Malaysia pada perlawanan akhir kedua Piala AFF 2018 di Stadium My Dinh Vietnam, semalam. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Zulfaizan Mansor


KUALA LUMPUR: Bekas Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengucapkan tahniah kepada Harimau Malaya walaupun gagal merangkul kejuaraan Piala AFF buat kali kedua, malam tadi.

Harimau Malaya yang merangkul kejuaraan sulung Piala AFF pada 2010 terpaksa melepaskan trofi tertinggi peringkat Asia Tenggara itu kepada Vietnam selepas tumpas dengan agregat 2-3.

Namun, Tunku Ismail yang juga Tunku Mahkota Johor (TMJ) menjelaskan Harimau Malaya kurang bernasib baik walaupun sudah memberikan segala-galanya pada dua aksi final berdepan Vietnam.

"Kepada semua pemain, jurulatih dan FAM, (kita) kurang bernasib baik. Anda semua menunjukkan semangat juang yang luar biasa sepanjang kejohanan," kata TMJ di laman Twiter miliknya.

"Itulah sesuatu yang pasukan dan semua peminat harus berbangga. Tahniah kepada Harimau Malaya dan berada di pentas final adalah satu pencapaian yang hebat."

Kekalahan kepada Vietnam menyaksikan Harimau Malaya sekali lagi terpaksa berdepan kekecewaan selepas tewas dengan agregat 3-4 kepada Thailand pada final edisi 2014.

TMJ yang juga Pengerusi Liga Bolasepak Malaysia (MFL) menjadi individu yang sering memberikan kata-kata semangat buat Harimau Malaya walaupun beliau sudah meninggalkan FAM.

Malah, Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin dalam kenyataan malam tadi juga turut menyampaikan ucapan terima kasih kepada TMJ dan semua pihak terutama seluruh penyokong Harimau Malaya.

"Saya selaku presiden (FAM) mengucapkan terima kasih kepada semua penyokong pasukan Malaysia dan juga Ultras Malaya yang sama-sama hadir ke Stadium My Dinh, Hanoi, malam ini (tadi) bagi memberikan sokongan padu buat skuad Harimau Malaya.

"Kegagalan Malaysia malam ini bagaimanapun tidak seharusnya terus diratapi dan kita perlu memandang ke hadapan bagi mempersiapkan pasukan kebangsaan menghadapi kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 yang akan bermula tahun depan," kata Hamidin.

  • Lagi berita Piala AFF
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Disember 2018 @ 6:41 PM