MURRAY mengatasi Cilic dengan kemenangan 6-3, 6-2.
MURRAY mengatasi Cilic dengan kemenangan 6-3, 6-2.
AFP

London: Andy Murray meraikan kejayaannya mengungguli ranking nombor satu dunia dengan kemenangan 6-3, 6-2 ke atas Marin Cilic kelmarin ketika pemain Scotland itu memulakan usahanya menjuarai Pusingan Akhir Jelajah ATP.

Murray secara rasmi disahkan sebagai pemain pertama Britain melonjak ke tangga nombor satu minggu lalu dan dia meraikan perlawanan pertamanya sejak saat bersejarah itu dengan mengetepikan Cilic pada kejohanan berprestij penamat musim di Arena O2, London.

Pemain berusia 29 tahun itu hanya mengambil masa 90 minit untuk meneruskan rentetan kemenangan kepada 20 aksi berturut-turut ketika dia berusaha menokok empat kejuaraan berturut-turut dimenanginya di Beijing, Shanghai, Vienna dan Paris.

Ia jelas permulaan yang diperlukan Murray kerana jika mahu memastikan dia mengakhiri 2016 di tangga teratas, dia mesti memenangi Pusingan Akhir Jelajah itu buat kali pertama, dengan apa saja keputusan lain akan memberikan Novak Djokovic peluang merampas kedudukannya bergantung kepada keputusan diraih bekas pemain nombor satu dunia itu.

“Ia satu suasana hebat dan saya fikir, saya beraksi satu daripada perlawanan terbaik saya di sini. Saya akan bekerja keras untuk memberikan peminat saat sebegini,” jelas Murray.

“Saya meraih keyakinan dengan memenangi perlawanan dan saya agak mantap apabila mendapat peluang.”

Murray menikmati 11 bulan menakjubkan yang mana dia menang Wimbledon buat kali kedua, meraih pingat emas perseorangan Olimpik buat kali kedua dan menjadi bapa buat kali pertama.

Lebih menyeronokkan penampilan pertama Murray sebagai pemain terbaik dunia hadir di gelanggang yang hanya sejam pemanduan dari rumah keluarganya di Surrey.

Ketika Murray mengumpul tujuh kejuaraan di sekitar London dengan kejuaraan Wimbledon dan Queen’s, dia gagal layak ke final Pusingan Akhir Jelajah dalam enam percubaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 November 2016 @ 8:19 AM