AFP

Paris: Andy Murray berpeluang menggantikan Novak Djokovic selaku pemain nombor satu dunia tetapi bintang Britain itu tegas mengatakan bahawa dia tidak akan membenarkan kata-kata itu melekakan dirinya.

Juara Wimbledon dan Olimpik berusia 29 tahun itu akan menduduki takhta nombor satu dunia jika menewaskan pemain Kanada Milos Raonic di separuh akhir Paris Masters.

Peluangnya itu mula terbuka selepas menyelamatkan tujuh mata akhir sebelum menang 7-6 (11/9), 7-5 ke atas Tomas Berdych di suku akhir kelmarin.

Terdahulu, juara kejohanan utama sebanyak 12 kali, Djokovic tewas 6-4, 7-6 (7/2) di tangan bintang Croatia Marin Cilic dan kekalahan itu menamatkan penguasaan 122 minggu pemain Serbia itu di tangga teratas ranking dunia ATP.

“Tekanan sebelum perlawanan kali ini pasti lebih hebat berbanding awal minggu lalu. Tetapi sebaik saya melangkah ke gelanggang, saya mahu lupakan dulu semua perkara,” kata Murray.

“Jika ia dapat berlaku minggu ini, ia pasti hebat. Tetapi jika tidak, saya tidak akan sesekali menambah tekanan pada diri kerana saya tetap berpeluang melakukannya pada masa depan.

“Tetapi saya akan berusaha melakukan yang terbaik minggu ini.”

Cilic tewas semua 14 pertemuan menentang Djokovic sebelum ini tetapi dia melakar kejutan terbesar kelmarin.

Djokovic yang pernah menang empat kali di Paris, tiba di ibu negara Perancis itu dengan impian untuk terus menduduki tangga teratas ranking dunia.

Tetapi cabarannya dilihat agak longlai ketika menentang Cilic yang juga juara Terbuka AS 2014 itu.

“Tahniah untuk Marin. Dia bermain lebih baik hari ini dan dia berhak menang,” kata Djokovic, 29.

“Saya tidak berada pada tahap sebenar. Ada beberapa pukulan yang sepatutnya saya lakukan lebih baik. Saya gagal untuk berada di kemuncak permainan.”

Walaupun kecewa, Djokovic masih mampu membuktikan kehebatannya apabila bermain di Pusingan Akhir Jelajah Dunia di London, minggu depan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 November 2016 @ 5:10 AM