MURRAY membalas pukulan Wawrinka  di suku akhir.
MURRAY membalas pukulan Wawrinka di suku akhir.
AFP

London: Andy Murray melangkah ke separuh akhir Pusingan Akhir Jelajah ATP selepas menang 6-4, 6-2 ke atas Stan Wawrinka dan pemain nombor satu dunia itu semakin hampir untuk bertemu musuh tradisi, Novak Djokovic.

Murray mengalahkan Wawrinka dalam tempoh 86 minit di gelanggang O2 Arena bagi memastikan dia menamatkan saingan peringkat kumpulan selaku juara dan tidak akan bertemu Djokovic di separuh akhir.

Pemain berusia 29 tahun itu akan bertemu pemain Kanada Milos Raonic di kelompok empat pemain terakhir.

Kekalahan Wawrinka itu bermakna pemain Jepun Kei Nishikori layak ke separuh akhir selaku naib juara kumpulan dan akan menentang Djokovic dalam satu lagi aksi.

Nishikori pernah tewas di tangan Djokovic ketika kedua-duanya bermain di separuh akhir edisi 2014.

Sesi memanas badan pemain berusia 26 tahun itu sebelum menentang Djokovic tidak berlangsung dengan baik apabila pemain nombor lima dunia itu tewas 3-6, 6-2, 6-3 di tangan Marin Cilic sekali gus membuatkan dia berdepan dua kekalahan sepanjang tiga perlawanan di peringkat kumpulan.

Murray menamatkan penguasaan 122 minggu Djokovic di persada ranking dunia dua minggu lalu tetapi jika mahu menamatkan musim 2016 selaku pemain nombor satu dunia, dia perlu muncul juara di Pusingan Akhir Jelajah ATP.

Bagaimanapun, dia kelihatan tidak mustahil untuk muncul juara selepas menang ke atas juara Terbuka AS Wawrinka sekali gus melebarkan rekod kemenangan kepada 22 perlawanan dan menyamai catatan terbaik kariernya seperti yang dicatat awal tahun ini.

“Set pertama agak sengit. Tidak banyak peluang. Saya berjaya mencuri kesempatan di hujung set,” kata Murray.

“Pada set kedua, saya sudah dapat rasa bahawa saya akan layak ke separuh akhir dan justeru, minda saya lebih tenang dan saya berupaya untuk menewaskannya.

“Stan adalah salah seorang pemain terbaik dunia. Apabila dia berada pada tahap terbaiknya, sukar untuk mana-mana pemain mengalahkannya tetapi kali ini saya bertindak cemerlang dan saya gembira dapat melangkah ke separuh akhir.”

Tahun ini, Murray cukup cemerlang apabila dia memenangi Wimbledon buat kali kedua dan menjulang emas Olimpik selain bergelar ayah buat kali pertama.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 November 2016 @ 5:11 AM