AFP

London: Novak Djokovic semakin hampir menamatkan musim selaku pemain nombor satu dunia selepas mengenepikan Stan Wawrinka 6-3, 6-0 di pusingan akhir Jelajah ATP, kelmarin.

Djokovic perlu memenangi semua tiga perlawanan Kumpulan A untuk memastikan dia berpeluang menghalang Roger Federer daripada merampas status pemain nombor satu dunia dan pemain Serbia itu mengambil masa 65 minit untuk mengesahkan kemenangan kedua ke atas Wawrinka di Arena O2 London.

Juara Wimbledon itu akan mengungguli kumpulan andai menewaskan Tomas Berdych pada perlawanan yang perlu dimenangi jika ingin melangkah ke separuh akhir.

Kekalahan Wawrinka bermakna pemain nombor empat dunia itu perlu mengatasi juara Terbuka AS, Marin Cilic yang dibelasah Berdych 6-3, 6-1 pada perlawanan terdahulu.

Setakat ini, Djokovic menang 29 perlawanan dalam dewan termasuk 12 aksi berturut-turut di pusingan akhir Jelajah dan dia berada di landasan tepat untuk muncul pemain pertama memenangi kejohanan itu tiga kali berturut-turut sejak Ivan Lendl melakukannya pada era 1980-an.

“Ia perlawanan yang hebat. Tiga perlawanan pertama itu kelihatan agak lama, tetapi saya berjaya memenangi set pertama,” kata Djokovic.

“Saya kurang melakukan kesilapan. Lawan tidak berada pada tahap terbaik sedangkan saya mempamerkan aksi tertinggi.”

Kemenangan Berdych ke atas Cilic bermakna tempat Djokovic ke separuh akhir masih belum terjamin, tidak sama dengan Wawrinka yang sedar kemenangan bakal membawanya ke kelompok empat pemain terakhir dengan baki satu aksi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 November 2014 @ 5:06 AM