MURRAY membalas pukulan Nishikori.
MURRAY membalas pukulan Nishikori.
AFP

London: Andy Murray melangkah setapak lagi menghampiri separuh akhir Pusingan Akhir Jelajah ATP apabila pemain nombor satu dunia itu menundukkan Kei Nishikori dalam pertarungan sengit 6-7 (9/11), 6-4, 6-4 yang berlangsung lebih tiga jam, awal pagi semalam.

Murray dipaksa bekerja keras oleh Nishikori dalam perlawanan paling lama dalam sejarah Pusingan Akhir Jelajah bagi tempoh tujuh tahun di Arena O2, London.

Pemain berusia 29 tahun itu akhirnya mengatasi bintang Jepun itu dalam masa tiga jam 20 minit, namun dia terpaksa menanti pengesahan layak ke separuh akhir selepas Stanislas Wawrinka menewaskan Marin Cilic 7-6 (7/3), 7-6 (7/3) pada perlawanan lewat malam.

Berdasarkan peraturan Pusingan Akhir Jelajah yang agak kompleks, Murray kini berdepan juara Terbuka AS, Wawrinka hari ini dengan nasibnya masih belum dipastikan manakala Nishikori masih berpeluang mara ke separuh akhir apabila dia berdepan Cilic.

Jika Cilic menewaskan Nishikori hari ini, maka kedua-dua Murray dan Wawrinka layak.

“Saya dipaksa bekerja keras. Kei membuatkan saya banyak berlari tapi saya berjaya menanganinya,” jelas Murray.

“Ini antara perlawanan yang mana anda perlu bekerja keras. Saya berasa OK sekarang, tapi biasanya anda akan berasa penat hari berikutnya.

“Harapnya ada tiga hari lagi perlawanan buat saya musim ini dan saya akan melakukan yang terbaik untuk melepasinya.”

Kebangkitan Murray membantunya meneruskan rentetan 21 kemenangan, hanya satu kurang daripada catatan terbaik karier 22 kemenangan berturut-turut dilakukan awal tahun ini.

Ia kali pertama Murray memulakan Pusingan Akhir Jelajah dengan dua kemenangan berturut-turut di peringkat kumpulan sejak dia melakukan penampilan sulung di Shanghai pada 2008.

Kedegilan Murray mengekang Nishikori daripada mencatat kemenangan membolehkannya berada dalam landasan baik untuk mengekalkan kedudukan nombor satu ranking ATP hujung tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 November 2016 @ 10:31 AM