AFP

New York: Andy Murray melangkah ke suku akhir Terbuka Amerika Syarikat (AS) dengan impian untuk meneruskan penguasaannya ke atas Kei Nishikori selain memastikan pertemuannya dengan Novak Djokovic menjadi semakin hampir.

Murray memenangi kejohanan utama pertamanya di Terbuka AS 2012 dan kali ini, dia muncul pemain pilihan untuk layak ke separuh akhir pertandingan Grand Slam terakhir musim ini.

Pemain nombor dua dunia itu memiliki rekod 7-1 ke atas Nishikori yang hanya sekali berjaya mengalahkan pemain Britain itu pada Pusingan Akhir Jelajah Dunia 2014.

Tahun ini, Murray menang dalam lima set ke atas Nishikori ketika membantu Britain mengatasi Jepun di Piala Davis sebelum menundukkan lawan serupa dengan keputusan straight set di separuh akhir Olimpik.

Secara keseluruhan, rekod karier Murray ialah 26-1 sejak tewas di final Terbuka Perancis kepada Djokovic, Jun lalu tetapi sejak itu dia memenangi acara di Kelab Queen’s, Wimbledon dan Olimpik.

Namun, dia tidak sesekali memandang rendah ancaman Nishikori yang layak ke final di New York dua tahun lalu selepas menundukkan Djokovic di separuh akhir.

“Dia beraksi cemerlang di Olimpik dan memenangi gangsa,” kata Murray yang melangkah ke suku akhir selepas membelasah Grigor Dimitrov.

“Saya mengharungi perlawanan yang penuh debaran ketika menentang Kei di Rio dan saya perlu bermain cemerlang jika mahu menewaskannya kali ini kerana dia salah seorang pemain terbaik dunia dan mantap setiap kali aksi di gelanggang keras.”

Sementara itu, Djokovic menyasarkan untuk tampil di separuh akhir buat kali ke-10 berturut-turut dan dia dijadualkan menentang seteru lamanya, Jo-Wilfried Tsonga.

Pemain nombor satu dunia Djokovic yang juga juara di New York pada 2011 dan 2015, tidak dicabar lawan sepanjang empat pusingan pertama kali ini.

Dia mengharungi empat set sebelum menewaskan Jerzy Janowicz pada perlawanan pertamanya sebelum diberi kemenangan percuma di pusingan kedua sambil lawannya di pusingan ketiga terpaksa menarik diri akibat kecederaan diikuti kemenangan selesa ke atas Kyle Edmund di kelompok 16 terakhir.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 September 2016 @ 7:34 AM