SAMSON (kiri) bersama Ketua Syarikat NAZA KIA Malaysia, Nazman S H C Yusof.
SAMSON (kiri) bersama Ketua Syarikat NAZA KIA Malaysia, Nazman S H C Yusof.
Nabil Basaruddin

Petaling Jaya: Naza Kia Malaysia, pengedar rasmi kenderaan Kia di Malaysia merancang untuk memperkukuh kehadiran dan kedudukannya di pasaran automotif tempatan menerusi segmen kepuasan pelanggan dengan memperkenalkan program Kia Value 5 (KV5).

KV5 adalah program di mana ia memberi jaminan kepada nilai masa depan bagi kenderaan Kia di mana program itu membolehkan pelanggan Kia berpeluang untuk menukar ganti kenderaan mereka dan mendapatkan kereta Kia berserta nilai jaminan selepas pemilikan dalam tempoh lima tahun.

Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Automotif, Naza Corporation Holdings Sdn Bhd, Datuk Samson Anand George berkata, ia antara pelan perniagaan strategik syarikat pada tahun depan yang dimulakan sejak awal November ini.

Beliau berkata, melangkah ke hadapan strategi untuk mengukuhkan kedudukan adalah menekankan kepada kepuasan pemilikan kenderaan kepada pelanggan kerana ia akan memberikan keyakinan produk, sekali gus mengekalkan pelanggan sedia ada.

“Kenderaan Kia sinonim dengan kualiti, reka bentuk, teknologi dan penetapan mesra pemandu. Program KV5 dapat mewujudkan peningkatan nilai kereta terpakai Kia melalui jaminan nilai masa depan kepada pelanggan yang mahu bertukar kepada model Kia baru.

“Sebagai jenama yang sedang berkembang, KV5 akan merangsang jualan serta mengukuhkan jenama kenderaan serta fungsi program terbabit yang dilihat sebagai ‘melindungi’ pengguna,” katanya kepada Bisnes Metro, di sini.

Samson berkata, Kia adalah satu-satunya jenama model terkemuka di Malaysia yang memberi peluang kepada pelanggan melalui tawaran program ini di mana ia adalah program Jaminan Nilai Masa Depan pertama seumpamanya tanpa jalinan eksekutif dengan institusi kewangan.

Katanya, sebagai fasa pengenalan, pelanggan yang membeli Kia Sportage dan Kia Sorento baru di cawangan jualan sah Kia akan layak menyertai program KV5 serta merancang untuk menambahkan pembabitan model lain dari semasa ke semasa.

“Malah, kedua-dua model ini juga dijangka akan menjadi pemangkin terhadap peningkatan jualan kepada syarikat. Sehingga kini, kami melihat 60 peratus jualan adalah daripada segmen kenderaan utiliti sukan (SUV) dan akan datang MPV akan mengunggulinya,” katanya.

Naza Kia Malaysia berada di kedudukan keempat dalam Kajian Indeks Khidmat Pelanggan Malaysia JD Power 2016 di mana kajian yang dijalankan pada tahun ke-14 itu menilai syarikat dari aspek kepuasan pelanggan yang membawa kenderaan mereka ke pusat servis yang sah.

Samson berkata, Naza Kia kini memiliki 46 pusat servis di seluruh negara dengan lebih 6,000 pelanggan setiap bulan dan sentiasa melihat keperluan untuk memperkembangkan perkhidmatan pusat servis itu.

“Kita bukan hanya melihat untuk mempraktikkan pusat jualan, tetapi ingin mewujudkan pusat bersepadu yang mempunyai fungsi daripada jualan hingga servis. Jadi pada tahun hadapan, kita jangka dapat tukarkan kira-kira 70 peratus pusat servis kepada fungsi pusat servis 3S,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 November 2016 @ 8:22 AM