KIA Rio Sedan
KIA Rio Sedan

Kuala Lumpur: Naza Kia Malaysia, pengedar rasmi kenderaan Kia di Malaysia menyasarkan 6,107 unit jualan pada tahun ini dengan 1,405 unit disumbangkan daripada model baharu Kia Rio Sedan.

Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Automotif, Naza Corporation Holdings, Datuk Samson Anand George berkata, model Rio konsisten menjadi model jualan pertama Kia selepas dijual lebih dua juta unit sejak diperkenalkan pada peringkat global.

“Ia juga memiliki rekaan moden, tahap keselamatan yang mengagumkan dan mempunyai ruang terbaik.

“Bagi yang mahu melihat lebih dekat kenderaan ini, mereka boleh melawat Karnival Tahun Baru Cina (CNY) Kia di Kia PJ Red Cube, Petaling Jaya pada 15 dan 17 Januari ini untuk tawaran menarik bagi model baharu serta barang gantian asli,” katanya.

Kenderaan segmen B disasarkan kepada golongan muda bersesuaian dengan gaya hidup mereka. Ia dipadankan enjin bersesaran 1.4 liter yang menyalurkan kuasa maksimum 109PS dan tork setinggi 137Nm dengan menggunakan transmisi automatik empat kelajuan.

Ruang kabinnya diserikan stereng teleskopik dan sistem audio dilengkapi enam pembesar suara yang turut mempunyai kapasiti penyimpan memori sehingga 800MB dan boleh disambung menerusi USB, CD, MP3, RDS dan AUX.

Kia Rio Sedan hadir dengan empat warna menarik membabitkan putih, perak, biru dan merah serta ditawarkan jaminan lima tahun tanpa had perbatuan yang dijual pada harga RM72,888.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 January 2016 @ 6:40 AM