DR Hanafiah (duduk dua dari kiri) menyerahkan MoU yang ditandatangani kepada Chin.
DR Hanafiah (duduk dua dari kiri) menyerahkan MoU yang ditandatangani kepada Chin.

Dalam usaha membantu melahirkan pakar bedah berkualiti tinggi di Malaysia, Johnson & Johnson Sdn Bhd (J&J) dan The College of Surgeons, Academy of Medicine of Malaysia (CSAMM) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) untuk memudahkan amalan terbaik dan meningkatkan kepakaran dalam bidang pembedahan umum.

Persefahaman untuk tempoh setahun itu memberi fokus kepada pengalaman latihan lanjutan untuk profesional perubatan menerusi pemindahan pengetahuan, teknologi dan kemahiran dengan menggunakan Bengkel Sains Pengurusan Tisu (SoTM).

SoTM ialah program yang disusun khas untuk pelajar pembedahan dan perubatan meningkatkan pengetahuan mengenai interaksi dan pengurusan radas tisu.

J&J komited untuk menyokong bengkel itu dengan menyediakan modul latihan, bahan dan tempat latihan untuk SoTM.

MoU ditandatangani Pengarah Urusan Johnson & Johnson Sdn Bhd Chin Keat Chyuan dan Presiden CSAMM merangkap Pengarah Pusat Kemahiran Pembedahan Lanjutan di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKMMC) Prof Madya Dr Hanafiah Harunarashid.

“Kerjasama bersama CSAMM akan membolehkan lebih banyak lagi latihan diadakan untuk memberi manfaat kepada pakar bedah.

“Berpegang pada prinsip untuk komited kepada penjagaan kesihatan dan mewujudkan dunia lebih sihat, J&J akan terus memberi pendidikan pembedahan yang berkualiti tinggi dan platform latihan untuk pelatih perubatan,” kata Chin.

Bengkel itu memudahkan pelatih doktor pakar bedah meningkatkan pengetahuan dan membiasakan diri dengan inovasi pembedahan terkini.

Sebelum berlangsungnya MoU berkenaan, satu bengkel prakongres SoTM diadakan bersama CSAMM di Unit Kemahiran Klinikal, Fakulti Perubatan, Universiti Malaya pada Mei lalu.

MoU itu adalah MoU J&J yang kedua ditandatangani membabitkan penggunaan bengkel SoTM.

Awal tahun ini, J&J bekerjasama dengan Persatuan Pembedahan Torasik & Kardiovaskular Malaysia (MATCVS) untuk menyertai latihan SoTM dan bengkel lain membabitkan pengurusan pendarahan dan anastomosis kardiovaskular.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 November 2016 @ 5:55 AM