Luqman Arif Abdul Karim

Kuala Lumpur: Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) memberikan kelulusan pendaftaran bersyarat untuk kegunaan bencana membabitkan dua lagi vaksin Covid-19.

Keputusan yang dimuktamadkan menerusi mesyuarat PBKD ke-361 hari ini, meliputi penggunaan vaksin Sinopharm dan Johnson & Johnson (J&J), sekali gus menyaksikan ia jenis pelalian keenam serta ketujuh dimasukkan dalam portfolio Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah ketika mengumumkan perkara itu berkata, COVILO ialah vaksin yang dibangunkan China National Biotec Group Company Limited (CNBG), Sinopharm, dan dikenali sebagai vaksin Covid-19 Sinopharm.

Kata beliau, vaksin J&J satu dos pula dibangunkan Janssen Pharmaceutica N.V. dari Belgium.

"Kelulusan pendaftaran bersyarat ini memerlukan maklumat kualiti, keselamatan dan keberkesanan produk vaksin berkenaan dipantau serta dinilai berdasarkan data-data terkini dari semasa ke semasa.

"Ia bagi memastikan perbandingan manfaat-risiko bagi produk-produk vaksin berkenaan kekal positif," katanya pada kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham Abdullah
Dr Noor Hisham Abdullah

Menurut Dr Noor Hisham, Kementerian Kesihatan (KKM) akan sentiasa mempertingkatkan tahap kesihatan awam dalam memerangi Covid-19 melalui perolehan bekalan vaksin yang dinilai daripada aspek tertentu.

"Ia merangkumi kualiti, keselamatan dan keberkesanan oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) dan diluluskan PBKD," katanya.

Pelaksanaan PICK sejak 24 Februari lalu menyaksikan Malaysia memperuntukkan kelulusan bersyarat bagi penggunaan ketika bencana membabitkan tiga jenis vaksin iaitu Pfizer, Sinovac dan AstraZeneca.

Mesyuarat PBKD ke-359 pada 15 Jun lalu kemudian memperuntukkan kelulusan sama kepada CanSino dan J&J, masing-masing jenis satu dos suntikan lengkap.

Vaksin J&J yang mendapat 'lampu hijau' pada 15 Jun lalu diperoleh kerajaan melalui pelan peruntukan vaksin Covid-19 global, COVAX dan berdasarkan kelulusan penggunaan kecemasan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Dr Noor Hisham berkata, kerajaan juga komited untuk memastikan penduduk dewasa di Malaysia mencapai imuniti kelompok, selaras sasaran yang digariskan dalam PICK.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Julai 2021 @ 2:39 PM