Kuala Lumpur: Bagi menyelesaikan kemelut membabitkan Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) serta Persatuan Hoki Johor (JHA) berhubung beberapa perkara termasuk wang tajaan RM100,000, badan induk itu akan menjelaskan secara terperinci pada mesyuarat Lembaga Eksekutif yang akan berlangsung dalam tempoh tiga minggu lagi.

Presiden MHC Datuk Seri Subahan Kamal berkata, pada mesyuarat itu nanti, beliau akan memastikan segala-galanya dijelaskan dengan terperinci meskipun tegasnya perkara sama sebenarnya sudah diterangkan pada mesyuarat sebelum ini.

“Pada mesyuarat itu nanti, MHC akan membuat penjelasan terperinci bersama bukti. Kami juga akan memanggil wakil TNB (Tenaga Nasional Berhad).

“Kami akan terangkan sekali lagi supaya semua wakil faham walaupun pada mesyuarat agung sebelum ini sudah dijelaskan secara terperinci,” katanya.

Jelas Subahan, beliau juga berharap pada mesyuarat Lembaga Eksekutif itu nanti, Presiden JHA Datuk Md Jais Sarday sendiri dapat hadir.

“Mereka perlu datang mesyuarat itu nanti, jangan tak datang pula. Sebab sebelum ini Presiden JHA hanya hantar wakil,” katanya.

Tegas Subahan, pihaknya tetap dengan pendirian untuk menunggu laporan terperinci daripada JHA berhubung penganjuran Piala Sultan Johor yang berakhir Ahad lalu sebelum menyerahkan wang tajaan daripada TNB itu.

“Untuk ketika ini, kami akan menunggu laporan JHA dulu,” katanya.

Subahan menerusi laporan Arena Metro semalam berkata penyerahan wang tajaan RM100,000 untuk Piala Sultan Johor hanya akan diserahkan selepas pihaknya menerima laporan media secara terperinci daripada JHA.

Namun, JHA menerusi Jais tetap dilihat kurang berpuas hati dengan penjelasan Subahan sambil menegaskan peraturan untuk menyerahkan wang tajaan selepas berakhir satu-satu kejohanan tidak pernah dimaklumkan badan induk itu sebelum ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 November 2016 @ 6:27 AM