SUBAHAN Kamal.
SUBAHAN Kamal.
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: “Saya akan letak jawatan.” Itu keputusan yang diambil Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) Datuk Seri Subahan Kamal (gambar) yang sedia melepaskan jawatan penting itu andai skuad hoki lelaki negara gagal layak ke Piala Dunia 2018 di Bhubaneswar, India menerusi kempen kelayakan di Separuh Akhir Liga Hoki Dunia di London dari 15 hingga 25 Jun nanti.

Tegas Subahan, beliau tidak akan teragak-agak untuk mengotakan janjinya itu kerana ia adalah indeks prestasi utama (KPI) yang ditetapkan untuk dirinya sendiri.

“Saya sudah mengetuai MHC selama dua tahun dan kedatangan saya di sini adalah untuk melakukan perubahan.

“Apabila anda sudah melakukan segala-galanya termasuk berbelanja dengan banyak tetapi skuad lelaki negara tidak layak ke Piala Dunia, maka saya fikir MHC memerlukan seorang presiden yang baru,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Agung Tahunan ke-64 MHC, semalam.

Jelas Subahan, beliau tidak perlu menunggu untuk membuat keputusan itu andai Malaysian Tigers tidak layak beraksi di Sukan Olimpik 2020.

“Sebelum ini memang saya sering kali katakan kepada anda bahawa jika skuad lelaki negara tak layak beraksi di Sukan Olimpik, saya akan letak jawatan.

“Tapi andai Piala Dunia pun tidak layak, apatah lagi untuk ke Sukan Olimpik,” katanya.

Bagaimanapun, Subahan yakin skuad negara sepatutnya tidak berdepan masalah besar untuk layak beraksi di Piala Dunia 2018.

“Saya berani katakan kita akan layak ke Piala Dunia,” katanya.

Pada saingan di London, skuad negara diletakkan dalam Kumpulan A bersama Argentina, England, Korea Selatan dan China.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Mei 2017 @ 2:02 AM