Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Persatuan Hoki Johor (JHA) dilihat masih kurang berpuas hati dengan jawapan diberikan Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) Datuk Seri Subahan Kamal berhubung soal penyerahan wang tajaan RM100,000 untuk kejohanan Piala Sultan Johor yang berakhir Ahad lalu.

Presiden JHA Datuk Md Jais Sarday (gambar) berasa kecewa kerana MHC didakwa mula mengeluarkan peraturan tidak pernah dimaklumkan sebelum ini berhubung prosedur penyerahan wang tajaan daripada Tenaga Nasional Berhand (TNB) itu.

“Sebagai contoh, kami menerima emel daripada MHC semalam (kelmarin) yang JHA perlu mengemukakan laporan media untuk layak menerima wang tajaan itu.

“Tapi, TNB menerusi surat dihantar kepada saya pada Mac lalu tidak menyatakan peraturan itu, malah sudah meluluskan tajaan sehingga 2019.

“Surat berkenaan jelas menyatakan MHC perlu menyerahkan wang itu kepada JHA,” katanya semalam.

Jais berkata, semua perlawanan disiarkan secara langsung di kaca televisyen serta live streaming.

“Saya yakin TNB akan menghargai usaha kami untuk mempromosikan kejohanan ini.

“Kami akan menyediakan dan menyerahkan laporan kepada TNB seperti yang kami lakukan kepada penaja lain,” katanya.

Subahan menerusi reaksi semalam berkata, wang tajaan itu hanya akan diserah selepas pihaknya menerima laporan secara terperinci mengenai kejohanan jemputan bawah 21 tahun itu.

Jelas Subahan, pihaknya juga sedang dalam proses menyerahkan wang RM50,000 kepada pihak persatuan selepas berakhir saingan liga peringkat negeri.

Sebelum ini Jais mempersoalkan beberapa perkara termasuk penyerahan wang badan induk itu kepada JHA.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 November 2016 @ 6:29 AM