TUNKU Idris (tengah duduk) bersama wakil syarikat pada majlis pelancaran di Johor Bahru.
TUNKU Idris (tengah duduk) bersama wakil syarikat pada majlis pelancaran di Johor Bahru.
Rizar Mohd Noor

Johor Bahru: Ke mana ‘hilangnya’ pegawai Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) yang langsung tidak kelihatan ketika pelancaran kejohanan hoki Piala Sultan Johor oleh Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Sultan Ibrahim di sini, semalam.

Persoalan itu timbul ketika MHC seolah-olah tidak mengambil berat kejohanan Bawah 21 tahun edisi keenam yang dianggap berprestij selepas mendapat suntikan penajaan sejumlah RM1.45 juta daripada penaja dengan pengesahan penyertaan dari skuad remaja negara, England, Australia, New Zealand, Jepun dan Pakistan.

Apapun Presiden Persatuan Hoki Johor (JHA), Datuk Md Jais Sarday bingkas menjawab betapa jemputan sudah diedarkan untuk hadir pada majlis pelancaran itu namun kemungkinan ada tugasan yang lebih penting menyebabkan tiada wakil MHC.

“Tiada sebarang pencanggahan. Mungkin jadual padat dan mereka tidak dapat hadir, tidak mengapalah mungkin mereka akan datang pada kejohanan itu nanti yang bermula 31 Oktober ini.

“Malah JHA akan tetap membayar yuran penganjuran yang ditetapkan MHC sejumlah RM21,000 untuk menganjurkan kejohanan B-21 itu kerana kita bergabung dengan badan induk hoki negara walaupun ini adalah kali pertama kena bayar,” katanya.

Md Jais menegaskan walaupun skuad hoki remaja negara tidak beraksi pada Piala Dunia Remaja berbanding England, Pakistan, Jepun dan New Zealand di Uttar Pradesh, India, Disember ini namun saingan Piala Sultan Johor menjadi platform terbaik untuk skuad kendalian Wallace Tan membuat persiapan lebih rapi menghadapi kejohanan bertaraf antarabangsa yang akan datang.

Beliau juga mengesahkan JHA membuat keputusan untuk menghantar pasukan bersaing pada saingan Liga Hoki Malaysia (MHL) tahun depan dan skuad itu akan dibarisi pemain berumur 17 dan 18 tahun yang dipilih bagi persiapan menghadapi Sukan Malaysia (SUKMA) Johor 2020.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Oktober 2016 @ 9:21 AM