KASUT, gari, kad kuasa sukarelawan polis, jaket logo polis serta pelekat logo polis yang dirampas dalam serbuan di Pulau Pinang dan Selangor pada 1 November lalu. FOTO Ramdzan Masiam
KASUT, gari, kad kuasa sukarelawan polis, jaket logo polis serta pelekat logo polis yang dirampas dalam serbuan di Pulau Pinang dan Selangor pada 1 November lalu. FOTO Ramdzan Masiam
Hadzlihady Hassan


Georgetown: Lelaki ditahan bagi membantu siasatan kes menyamar polis Bukit Aman dan memeras ugut seorang ahli perniagaan 25 Oktober lalu.

Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid berkata, lelaki berusia 57 tahun itu yang juga bekas anggota polis ditahan 2 petang semalam di kawasan bandar ini.

Menurutnya, suspek akan direman hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan.

"Selasa lalu, lima lelaki sudah ditahan masing-masing dua di Selangor dan tiga di negeri ini," katanya pada sidang media dipejabatnya, hari ini.

Dalam kejadian 25 Oktober lalu, seorang ahli perniagaan menyerahkan wang RM20,000 kepada sekumpulan lelaki yang menyamar sebagai polis Bukit Aman.

Ahli perniagaan terbabit yang ketika itu berada di kawasan tempat letak kenderaan pusat beli-belah di Pulau Tikus digari dan dibawa masuk ke dalam kereta oleh suspek.

Mereka memberitahu mangsa dikehendaki polis di Sarawak kerana kesalahan jenayah komersial dan meminta wang sekiranya mahu menyelesaikan kes terbabit.

Ahli perniagaan berusia 53 tahun itu membuat laporan polis selepas dia menyerahkan wang terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 November 2016 @ 4:17 PM