Muhaamad Hafis Nawawi


TINDAKAN seorang anggota polis berpangkat koperal yang bertugas di Bukit Aman bersubahat dengan Geng Rana untuk melakukan kegiatan samun dan menyamar sebagai polis mengundang padah apabila dia ditahan pihak berkuasa terbabit.

Dalam Ops Rentap itu, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh menahan tujuh lelaki termasuk empat warga Bangladesh di lima lokasi di sekitar Lembah Klang sejak 3 Februari lalu sehingga kelmarin.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Superintendan Shafa’aton Abu Bakar berkata, serbuan pertama di sebuah apartment di Taman Pasir Permata, Kuala Lumpur membawa kepada penahanan dalang geng terbabit.

Menurutnya, polis kemudian menyerbu sebuah hotel di Jalan Tun HS Lee, Kuala Lumpur dan menangkap tiga lelaki warga Bangladesh.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Superintendan Shafa’aton Abu Bakar menunjukkan parang dan barangan samun yang dirampas susulan penahanan Geng Rana pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Sungai Buloh. FOTO Muhaamad Hafis Nawawi
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Superintendan Shafa’aton Abu Bakar menunjukkan parang dan barangan samun yang dirampas susulan penahanan Geng Rana pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Sungai Buloh. FOTO Muhaamad Hafis Nawawi

“Soal siasat kemudian membawa kepada tangkapan seorang anggota polis di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.

“Kita turut menahan dua lelaki tempatan masing-masing bekerja sebagai pengawal keselamatan dan anggota tentera,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh, hari ini.

Shafa’aton berkata, pelbagai barang samun dirampas antaranya wang tunai RM500, 136 keping kad telefon tambah nilai, enam unit telefon bimbit dan sepasang gari.

“Kumpulan itu akan menyamar sebagai pegawai polis dengan menyasarkan pekerja warga asing sebagai mangsa dan mereka diarah untuk menyerahkan wang sebelum dibebaskan.

“Mereka aktif sejak tahun lalu di mana kita telah kenal pasti tiga kes menyamar sebagai anggota polis di sekitar Kuala Selangor dan Sungai Buloh,” katanya.

Beliau berkata, suspek direman sehingga 17 Februari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Februari 2020 @ 2:03 PM