Gambar hiasan
Gambar hiasan
Hadzlihady Hassan


TIGA lelaki menyamar pegawai imigresen dan memeras ugut wanita warga Indonesia ditahan polis berhampiran sebuah restoran makanan segera di Auto City, Juru di Bukit Mertajam hari ini.

Sebelum itu, tiga lelaki berkenaan yang menaiki Proton Persona hitam memperkenalkan diri sebagai pegawai imigresen kepada dua wanita warga Indonesia yang sedang berbual di kawasan padang di Flat Taman Pelangi kira-kira 12.30 tengah malam.

Kumpulan lelaki itu mengarahkan dua wanita yang juga pekerja kilang masuk ke dalam kereta sebelum meminta wang sebanyak RM2,000 sekiranya tidak mahu ditahan kerana mendakwa mereka melakukan kesalahan imigresen.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, seorang daripada wanita terbabit yang berusia 39 tahun kemudiannya menyerahkan wang miliknya berjumlah RM600.

“Mangsa memberitahu bahawa dia sudah tidak mempunyai wang lagi tetapi suspek tetap berkeras dan meminta dia mencari sebanyak RM2,000.

“Suspek kemudiannya menyuruh mangsa keluar untuk mendapatkan wang terbabit, manakala rakannya pula dibawa ke lokasi yang tidak diketahui,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Nik Ros Azhan berkata, mangsa yang takut pulang ke rumah dan meminjam wang daripada seorang lelaki tempatan yang juga jirannya.

“Mangsa turut menceritakan apa yang berlaku kepada lelaki terbabit dan jirannya itu berjanji akan membantu mangsa dengan mengekorinya ke lokasi yang ditentukan suspek untuk menyerahkan wang berkenaan.

“Suspek yang menghubungi mangsa memberitahu akan bertemu berhampiran restoran makanan segera di Auto City dan wanita itu yang menaiki teksi pergi ke lokasi ditetapkan kira-kira 1 pagi,” katanya.

Menurutnya, seorang daripada suspek keluar daripada kereta bersama rakan wanita terbabit untuk bertemunya.

“Pasa masa yang sama, jirannya yang mengekori mangsa berjaya menahan suspek terbabit dan dua lagi rakannya melarikan diri.

“Bagaimanapun, kedua suspek itu berjaya ditahan anggota Unit Peronda Polis (MPV),” katanya.

Menurutnya, semua suspek yang berusia 34 hingga 46 tahun itu ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan (KK) dan Seksyen 384 KK.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Oktober 2019 @ 8:34 PM