KUANTAN: Polis menahan dua lelaki yang menyamar sebagai anggota polis ketika sedang memeras ugut seorang lelaki warga Myanmar untuk mendapatkan wang di tepi jalan di Kampung Raja dekat Cameron Highlands semalam.

Ketua Polis Daerah Cameron Highlands Deputi Superintenden Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, suspek berumur 51 dan 28 tahun itu ditangkap pada 8 malam semalam selepas menerima laporan daripada rakan mangsa terbabit.

"Selepas menerima laporan itu, anggota polis ke lokasi kejadian sebelum ternampak seorang daripada suspek yang memakai jaket polis, sedang berdiri di tepi kereta.

"Pada masa sama, seorang lagi suspek berada di dalam kereta itu bersama mangsa dan polis segera menahan mereka yang terlibat," katanya di sini hari ini.

Wan Mohd Zahari berkata, mangsa memaklumkan dia telah ditahan dan digari oleh suspek sebelum memaksanya mendapatkan wang tunai RM500 daripada rakan-rakan lain sekiranya mahu dilepaskan.

Katanya, siasatan awal mendapati suspek berumur 51 tahun itu adalah bekas polis dan memiliki rekod jenayah berkaitan penyalahgunaan dadah.

"Kedua-dua suspek kini ditahan reman di lokap IPD Cameron Highlands sehingga Isnin depan," katanya.

Sebelum itu, mangsa difahamkan sedang berjalan-jalan dengan dua rakannya, masing-masing berusia 30an dan kemudian telah ditahan seorang daripada suspek yang memperkenalkan diri sebagai anggota polis atas alasan untuk membuat pemeriksaan.

Dua rakan mangsa yang mencurigai suspek telah bertindak melarikan diri namun mangsa ditahan suspek dan dimasukkan ke dalam sebuah kereta sebelum digari. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 January 2015 @ 8:54 PM