MIOR Faridalathrash menunjukkan gari dan kad kuasa   yang dirampas dalam serbuan di Pulau Pinang.
MIOR Faridalathrash menunjukkan gari dan kad kuasa yang dirampas dalam serbuan di Pulau Pinang.
Hadzlihady Hassan


Georgetown: Sekumpulan lelaki yang menyamar sebagai polis Bukit Aman dikesan ‘mencari makan’ dengan menyasarkan golongan ahli perniagaan yang pernah ditahan mengikut Ordinan Darurat (EO) sebagai mangsa.

Mereka menggunakan modus operandi dengan mengesan mangsa yang mempunyai rekod jenayah sebelum menahan dan kemudian meminta wang kononnya untuk menyelesaikan kes membabitkan mangsa.

Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid berkata, pihaknya mengesan kegiatan kumpulan lelaki terbabit yang pernah melakukan satu kes sama di Pulau Pinang ini dan di beberapa negeri lain.

Menurutnya, suspek menyamar anggota polis serta menahan mangsa yang terdiri daripada golongan peniaga atau individu yang mempunyai wang namun pernah ditahan mengikut EO sebelum memeras ugut mereka.

“Mereka akan memakai pakaian seragam, membawa gari serta kad kuasa palsu dan menyamar polis Bukit Aman untuk menakutkan mangsa.

“Mangsa kemudian ditahan namun selepas itu, kumpulan penjenayah terbabit akan menuntut sejumlah wang kononnya untuk menyelesaikan kes,” katanya pada sidang media di pejabatnya, semalam.

Dalam kejadian 25 Oktober lalu, seorang ahli perniagaan berusia 53 tahun menyerahkan wang RM- 20,000 kepada lima lelaki yang menyamar polis Bukit Aman selepas mereka menahannya dan mendakwa mangsa mempunyai rekod lampau berhubung kesalahan jenayah komersial di Sarawak.

Lelaki terbabit kemudian membuat laporan polis dan susulan itu, lima suspek terbabit ditahan dalam serbuan di Selangor dan negeri ini, Selasa lalu.

Mior Faridalathrash berkata, seorang lagi lelaki berusia 57 tahun yang juga anggota kumpulan terbabit turut ditahan pada jam 2 petang, kelmarin di bandar ini dan direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan.

“Pemeriksaan mendapati lelaki berkenaan adalah bekas anggota polis dan kami masih menyiasat kemungkinan suspek adalah perancang dalam kegiatan jenayah terbabit,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 November 2016 @ 10:30 AM