BERNAMA

Ipoh: Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) melaksanakan tindakan Tahanan Harta Alih bermula bulan ini, terhadap pemilik pegangan yang gagal menjelaskan tunggakan cukai taksiran dan gagal mematuhi perjanjian ansuran.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Zamri Man berkata MBI sudah mengenal pasti kawasan yang mempunyai banyak pegangan tertunggak dan hebahan akan dibuat bagi memaklumkan penduduk setempat sebelum tindakan dilaksanakan.

"Pentadbiran MBI berulang kali memberi peringatan kepada pemilik pegangan supaya membayar tunggakan cukai taksiran namun semakan mendapati masih ramai pemilik gagal bertindak terhadap notis yang dikeluarkan.

"Pemilik pegangan di kawasan pentadbiran MBI yang mempunyai tunggakan cukai taksiran dinasihat menjelaskan bayaran segera bagi mengelak tindakan," katanya pada mesyuarat penuh MBI di sini, hari ini.

Zambri berkata, mulai bulan ini, MBI akan melaksanakan Ops TAC (Toilet, Apron and Cap) terhadap premis makanan sekitar Ipoh bagi memastikan memastikan pengendali makanan sentiasa mengamalkan kebersihan diri dengan memakai apron, penutup kepala serta menjaga kebersihan tandas.

Pelesen dan operator pengendali makanan akan dikenakan tindakan kompaun jika gagal memakai apron, penutup kepala serta menjaga kebersihan tandas.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 November 2016 @ 7:16 PM