Faliq Lajim

MAJLIS Daerah Kuala Langat (MDKL) hari ini, mengarahkan lima premis makanan di Kuala Langat ditutup serta-merta dua minggu selepas didapati beroperasi dalam keadaan kotor.

Semua premis itu diarahkan tutup dalam operasi bersepadu MDKL dan Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Langat, bermula 10 pagi.

Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran MDKL, Noor Hayati Ibrahim berkata, semua premis itu ditutup sementara mengikut Undang-Undang Kecil 62, Undang-Undang Kecil Pelesenan Establisymen Makanan (MDKL) 2007.

Katanya, premis yang diarahkan tutup itu terletak di Sijangkang dan Teluk Panglima Garang.

“Dalam operasi ini, perintah arahan menutup premis itu dibuat berikutan kita terjumpa kesan hurungan serangga termasuk lipas, kegagalan mendapat suntikan tifoid selain tidak mengikut langkah kebersihan ditetapkan.

“Pemilik premis diberi tempoh 14 hari untuk melakukan kerja pembersihan dan penambahbaikan seperti diarahkan,” katanya.

Turut hadir Ketua Penolong Pegawai Kesihatan Kuala Langat, Mohamad Farhan Kadir.

Noor Hayati berkata, MDKL komited dalam memastikan mutu perkhidmatan perniagaan makanan di daerah itu berada dalam keadaan bersih.

“Walaupun terdapat beberapa alasan diberikan termasuk bangunan premis lama, baru saja beroperasi selepas cuti panjang, tiada kakitangan untuk membersihkan serta beberapa alasan lain namun kita tidak boleh bertolak ansur perkara seperti ini yang membabitkan kebersihan makanan,” katanya.

Sementara itu, Mohamad Farhan berkata, arahan terhadap kedai yang ditutup dalam operasi itu dibuat mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1983.

“Hari ini, apabila kami lakukan pemeriksaan didapati ada beberapa premis memperoleh markah kurang 65 peratus serta kehadiran tikus.

“Notis kesalahan juga dikeluarkan berkaitan kebersihan mengikut Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009.

“Kami kesal apabila pemilik premis dan peniaga ini bersikap ambil mudah dengan melakukan pelbagai kesalahan seperti tidak memakai apron, penutup kepala dan kasut serta memakai barangan perhiasan ketika beroperasi walaupun ia adalah prosedur yang memang ditetapkan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Oktober 2018 @ 7:58 PM