PENGUAT kuasa MBPJ menyita barangan di kediaman penduduk dalam Operasi Bersepadu Waran Sitaan Cukai Taksiran. FOTO Genes Gulitah
PENGUAT kuasa MBPJ menyita barangan di kediaman penduduk dalam Operasi Bersepadu Waran Sitaan Cukai Taksiran. FOTO Genes Gulitah
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Petaling Jaya: Sikap pemilik rumah yang tidak mahu bekerjasama kerana tidak membayar cukai taksiran tertunggak memaksa Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) memanggil polis dalam satu operasi yang dijalankan dua hari bermula hari ini.

Menerusi Operasi Bersepadu Waran Sitaan Cukai Taksiran di kawasan Damansara Perdana, dua pemilik atau penyewa kondominium di sini dilihat tidak mahu bekerjasama walaupun sudah dua tahun tidak membayar cukai taksiran masing-masing melebihi RM4,000.

Penolong Akauntan Bahagian Cukai Taksiran MBPJ, Zey Iskandar Mohamed Jalil berkata, disebabkan mereka berkeras tidak mahu bekerjasama seperti mahu membuka pintu rumah menyebabkan pihaknya terpaksa menghubungi polis.

"Sebenarnya kita tak mahu menyusahkan polis. MBPJ boleh menyelesaikannya dengan penguat kuasa, tetapi apabila tidak mahu bekerjasama, tidak beri masuk (rumah) dan kita terpaksa panggil polis.

"(Antara) tindakan yang kita boleh buat adalah pecahkan (pintu) rumah, polis buat laporan dan kita akan ambil barang sitaan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Katanya, pihaknya memperoleh kutipan daripada dua rumah berjumlah RM8,564.80 setakat operasi dijalankan terhadap sembilan rumah yang tidak membayar cukai taksiran tunggakan mereka.

Katanya, dua rumah lain pula barangan mereka seperti televisyen dan penapis udara disita oleh pihaknya.

"Barang-barang ini akan disimpan di MBPJ selama tujuh hari dan kita beri peluang kepada pemilik pegangan yang disita untuk membuat bayaran dan selepas itu boleh mengambil barangnya.

"Tetapi kalau selepas tujuh hari tidak bayar cukai taksiran tertunggak, barang ini akan masuk dalam lelongan awam dan jumlah yang diperoleh itu akan membayar cukainya," katanya.

Zey Iskandar berkata, tindakan diambil pihaknya adalah selaras dengan Seksyen 147 dan 148, Akta Kerajaan Tempatan (Akta 171) dan operasi yang dijalankan selama dua hari ini membabitkan 40 kakitangan MBPJ.

Dalam pada itu katanya, berdasarkan rekod, jumlah cukai taksiran tunggakan keseluruhan di kawasan Damansara Perdana adalah melebihi RM8 juta melibatkan 9,304 pegangan atau pemilik.

"Untuk Damansara Perdana sahaja, ada (lebih) RM8 juta tunggakan yang tidak berbayar. Jadi tanggungjawab kita (MBPJ) untuk mengutipnya," katanya.

Katanya, bagi keseluruhan Petaling Jaya, cukai taksiran tertunggak pula adalah berjumlah RM20 juta.

"Jumlah ini adalah bagi mereka yang sudah dikenakan waran melebihi dua tahun.

"Saya minta kepada semua pemilik-pemilik pegangan di Petaling Jaya, kalau nampak ada tulis sitaan itu maknanya peringkat akhir.

"Tolonglah datang ke MBPJ (bayar cukai taksiran tertunggak). Bila pegawai MBPJ sudah sampai, masa itu tidak ada perbincangan untuk bayaran," tegasnya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Mac 2023 @ 2:08 PM