Batam (Indonesia): Polis menyerbu satu pusat pelacuran yang berlindung di sebalik perniagaan spa dan rumah urut di sini dan menahan tujuh lelaki termasuk dua rakyat Malaysia yang dipercayai pemilik premis berkenaan, kata polis semalam.

Jurucakap polis, Herman Kelly berkata, polis menyerbu pusat spa yang dikenali sebagai Asmara 22 pada Khamis lalu selepas penduduk mengadu mengenai aktiviti mencurigakan di premis berkenaan.

Menurutnya, siasatan mendapati premis itu menawarkan perkhidmatan seks kepada pelanggan.

“Suspek memberitahu aktiviti premis itu baru berjalan selama beberapa bulan,” katanya kepada portal Jakarta Post semalam.

Tujuh lelaki termasuk dua rakyat Malaysia itu ditahan kerana disyaki menjalankan aktiviti pelacuran berkenaan.

Dua rakyat Malaysia itu melabur sebanyak Rp300 juta (RM96,146) untuk memulakan perniagaan haram berkenaan.

Suspek warga tempatan pula mencari wanita untuk dijadikan pelacur dan mencari tempat untuk dijadikan pusat spa.

Tambahnya, setiap pelanggan dikenakan bayaran antara Rp600,000 (RM192) hingga Rp1.5 juta (RM480) untuk perkhidmatan itu.

Menurutnya, semua suspek didakwa mengikut undang-undang pemerdagangan manusia yang memperuntukkan hukuman penjara 15 tahun. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Oktober 2016 @ 5:12 AM