KEADAAN bilik rahsia yang dihuni wanita warga asing.
KEADAAN bilik rahsia yang dihuni wanita warga asing.
Siraj Mohd Zaini

Shah Alam: Taktik sebuah pusat spa menyediakan pintu rahsia menyerupai almari yang menjadi laluan ke 15 bilik kecil di dalamnya untuk pekerja bersembunyi gagal membuahkan hasil apabila berjaya dihidu polis, awal pagi semalam.

Difahamkan, premis di dalam bangunan hotel berdekatan Plaza Tol Sungai Besi, Seri Kembangan itu beroperasi tanpa lesen dan menjalankan kegiatan maksiat membabitkan wanita warga asing.

Perkara itu dibongkar sepasukan anggota Cawangan Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor yang menggempur spa berkenaan menerusi Ops Noda, kira-kira jam 1 pagi.

Ketua Operasinya Asisten Superintendan Sobri Baki berkata, serbuan itu membawa kepada penahanan 17 individu termasuk 15 wanita yang dipercayai pekerja seks.

“Seramai 10 wanita Indonesia, empat wanita Vietnam, seorang wanita Thailand dan dua penjaga premis ditahan mengikut Seksyen 55B Akta Imigresen dan Peraturan 39B Peraturan-peraturan Imigresen.

“Dalam operasi yang disertai cawangan Siasatan Jenayah Berat (D9) Selangor itu, polis turut merampas beberapa tuala, kondom, jadual kerja dan wang tunai RM1,500,” katanya kepada Harian Metro, di sini.

Menurut beliau, 72 individu ditahan dalam keseluruhan operasi itu yang dijalankan di tiga lokasi lain secara serentak di daerah Subang Jaya, Petaling Jaya dan Klang Selatan.

“Dalam serbuan di sebuah premis hiburan di USJ19, seramai 12 pekerja dan 12 pelanggan ditahan atas kesalahan melanggar undang-undang Imigresen serta positif dadah.

“Serbuan di Jalan 19/3, Petaling Jaya pula atas kesalahan menjalankan perniagaan lebih masa dan kita menahan empat individu termasuk pengurus premis dan penjaga kaunter,” katanya.

Kata Sobri, pihaknya turut menyerbu sebuah spa di sebuah hotel di Persiaran Raja Muda, Pelabuhan Klang, kerana dipercayai menjalankan kegiatan pelacuran serta perjudian.

“Seramai 27 individu ditahan masing-masing sembilan pekerja wanita, penjaga premis dan 17 lelaki yang disyaki kaki judi.

“Barangan yang dirampas antaranya tuala, botol minyak urut, kondom dan komputer,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Jun 2017 @ 9:41 AM