Sungai Petani: ‘Allah bersama kita.’ Itulah kata-kata semangat sempat dilaungkan ahli keluarga seorang anggota polis ketika dia dibawa ke lokap mahkamah selepas berdepan tuduhan memberi sokongan kepada pengganas beberapa bulan lalu.

Malah, anggota polis berpangkat Lans Koperal, Mustaza Abdul Rahman, 29, turut sebak dan sempat mengucup dahi anak perempuannya berusia dua tahun dalam keadaan tangan bergari sebelum dipeluk bapanya yang datang dari Kuala Lumpur bagi mengikuti prosiding kes itu bersama seorang lagi tertuduh lepasan universiti, Mohd Azim Luqman Muhammad Naim, 22.

Sebelum ini, kedua-duanya didakwa di mahkamah sama pada 24 Julai lalu.

Semalam, Mahkamah Majistret menetapkan 25 September depan sebagai tarikh sebutan semula bagi mendapatkan keizinan memindahkan kes membabitkan kedua-dua tertuduh yang didakwa memberi sokongan kepada pengganas beberapa bulan lalu.

Majistret Mohd Hadi Hakimi Harun membuat ketetapan itu selepas Timbalan Pendakwa Raya, Geetha Jora Singh, yang mengendalikan kes itu tidak hadir ke mahkamah semalam kerana berkursus menyebabkan tempatnya diganti Pegawai Pendakwa, Sharulniza Serat.

Mustaza berdepan dua pertuduhan iaitu memberi sokongan kepada berlakunya perbuatan pengganas yang membabitkan penggunaan bahan letupan dan perbuatan itu dilakukan dengan niat melanjutkan suatu perjuangan ideologi.

Perbuatan itu didakwa secara munasabah boleh dianggap sebagai diniatkan untuk mengugut orang awam di Malaysia melalui aplikasi Telegram dalam telefon bimbit jenis iPhone 6 Plus miliknya dan oleh demikian, dia sudah melakukan kesalahan mengikut Seksyen 130J(1)(b) Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara seumur hidup atau tidak melebihi 30 tahun atau denda. Mana-mana harta yang digunakan atau diniatkan untuk digunakan dalam kesalahan itu juga boleh dirampas.

Bagi pertuduhan kedua, Mustaza dituduh dengan sengaja meninggalkan daripada memberi apa-apa maklumat berkenaan kesalahan mengikut Seksyen 130C dan Seksyen 130J(1)(b) Kanun Keseksaan yang diketahuinya terpaksa diberi di sisi undang-undang.

Dia dituduh melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 130M, Kanun Keseksaan yang mana jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga tujuh tahun atau denda.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan antara 25 Mac 2016 hingga 29 Jun lalu di rumah beralamat G7-1-1, Blok Iksora, Perumahan Polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda, dekat sini.

Mohd Azim Luqman pula berdepan satu pertuduhan iaitu memberi sokongan kepada pengganas Daish yang membawa kepada kesalahan mengikut Seksyen 130J(1)(a) Kanun Keseksaan.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu antara 25 Mac 2016 hingga 30 Jun lalu di sebuah rumah di Jalan Semeling Indah, Taman Semeling Indah, Bedong.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Ogos 2016 @ 6:53 AM
MUSTAZA (depan) dan Mohd Azim Luqman (belakang) diiringi anggota polis ketika keluar dari Mahkamah Majistret.
MUSTAZA (depan) dan Mohd Azim Luqman (belakang) diiringi anggota polis ketika keluar dari Mahkamah Majistret.