GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Muhamaad Razis Ismail


Kota Bharu: Kes dua lelaki yang didakwa di Mahkamah Majistret Kota Bharu terhadap tuduhan terbabit dengan kegiatan Daish tahun lalu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk dibicarakan.

Majistret Nik Habri Muhamad membuat keputusan itu selepas menerima permohonan daripada pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Habibullah Mohammad Shah.

Tertuduh, Hizmi Razli Abdul Rahim, 32, dan Tengku Shukri Che Engku Hashim, 30, diwakili peguam bela Hazrin Alif.

Pada 20 Oktober 2016, kedua-dua tertuduh didakwa memberi sokongan pada Daish dengan melafazkan sumpah taat setia terhadap kumpulan itu dalam aplikasi Telegram kumpulan 'Gagak Hitam'.

Hizmi Razli didakwa melakukan kesalahan itu di Kampung Pulau Kapas, di sini, pada 12.37 tengah malam, 30 Mac 2016, manakala Tengku Shukri didakwa melakukan kesalahan sama di Taman Tanjung Mas, Jalan Pengkalan Chepa, di sini pada 5.08 petang, tarikh sama.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 130J(1)(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau maksimum 30 tahun atau denda dan rampas harta yang digunakan atau diniatkan untuk digunakan bagi kegiatan itu, jika sabit kesalahan.

Bagi tuduhan kedua, Hizmi didakwa memberi sokongan kepada Daish membabitkan penggunaan bahan letupan dengan niat melanjutkan perjuangan ideologi untuk mengugut orang awam di Malaysia melalui aplikasi Telegram kumpulan 'Amanah(phb) vs Pas' pada 3.32 pagi, 28 Jun 2016.

Tengku Shukri pula didakwa melakukan kesalahan sama di alamat Tanjung Mas, di sini, antara jam 3.18 pagi hingga 11.27 malam, tarikh sama.

Kesalahan didakwa mengikut Seksyen 130J(1)(b) yang membawa hukuman penjara seumur hidup atau 30 tahun atau denda dan dirampas harta yang digunakan atau niat untuk menggunakan harta bagi melakukan kesalahan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Mac 2017 @ 3:51 PM