Azmi bersama peguam dengan surat pengakuan bersumpah untuk memulihkan dan membersihkan namanya. FOTO NSTP/Amirudin Sahib.
Azmi bersama peguam dengan surat pengakuan bersumpah untuk memulihkan dan membersihkan namanya. FOTO NSTP/Amirudin Sahib.
Syafil Syazwan Jefri


Kuala Lumpur: Pengarah drama, Azmi Hatta, 41, mendakwa dia pernah ditumbuk, dipukul dan disepak oleh bekas isterinya yang juga penyanyi Elly Mazlein ketika masih bergelar suami isteri.

Azmi berkata, salah satu punca mereka bercerai ialah kerana Elly terlalu cemburu dan bukannya disebabkan orang ketiga.

“Dalam tempoh perkahwinan itu, ada beberapa kali dia menyerang saya dengan kekerasan termasuk dipukul. Apabila saya menjalani penggambaran dengan pelakon wanita lain, dia akan menuduh saya menjalin hubungan sulit dengan mereka,” katanya kepada pemberita dalam sidang media di Taman Tasik Titiwangsa, di sini, hari ini.

Azmi mengadakan sidang media berkenaan berikutan rentetan kes perceraian dan kenyataan yang dikeluarkan Elly Mazlein menerusi beberapa gambar di Instagram milik penyanyi itu.

Azmi dan Elly bercerai di Mahkamah Rendah Syariah Sepang, Selangor pada 15 Oktober tahun lalu ketika Elly sedang hamil empat bulan.

Menurut Azmi, bekas bapa mentuanya sendiri menyarankan mereka berpisah memandangkan hubungan mereka tidak lagi serasi.

“Bapa Elly mencadangkan supaya kami berpisah dan Elly juga bersetuju sebelum dia mengambil semua pakaian saya dan diletakkan di luar pintu rumah,” katanya.

Azmi berkata, sudah tiba masanya dia bersuara dan menjelaskan apa sebenarnya yang berlaku.

“Saya ingatkan dengan berdiam diri, saya mampu mengubah tindakan Elly, namun sangkaan saya meleset.

“Semakin saya diam, saya dilemparkan pelbagai tohmahan dan provokasi. Lebih parah lagi, keluarga saya dan orang-orang yang rapat dengan saya pun turut terkena tempias provokasi mereka,” katanya yang meminta Elly menghentikan melakukan provokasi terhadapnya.

Dalam sidang media berkenaan, Azmi turut mengedarkan surat akuan bersumpah yang mengandungi 20 muka surat yang menyenaraikan ikrar serta kisah sebenar sepanjang hubungannya dengan Elly dari mula hingga kini.

Hadir sama, peguam Azmi iaitu Mohd Fadly Hashim.

Ditanya mengenai hubungannya dengan pelakon Faye Kusairi yang didakwa menjadi punca perceraiannya dengan Elly, Azmi enggan mengulas, sebaliknya meminta semua pihak mendoakan yang terbaik.

“Saya juga bersimpati dengan Faye kerana dia sendiri turut menerima kecaman daripada masyarakat. Bukan saja dia, keluarganya juga turut terkesan,” katanya.

Bagaimanapun, dalam kenyataannya menerusi surat akuan bersumpah yang diedarkan, Azmi mengakui dia mendapat bayangan wajah Faye selama empat hari berturut-turut selepas mengadakan solat Istikharah.

“Selepas bercerai, saya yakin solat istikharah saya selama ini dijawab. Allah perkenankan hajat saya dan saya dikurniakan ilham. Allah menampakkan wajah Faye Kusairi,”katanya.

Sementara itu, Elly ketika dihubungi meminta Azmi menunjukkan bukti sama ada dia pernah memukul bekas suaminya itu.

"Kalau setakat bercakap tak guna juga. Adalah lebih baik disertakan bukti," katanya.

Elly berkata, dia berharap selepas dia mengambil keputusan untuk meneruskan kehidupan dengan perkara positif, jangan pula ada pihak lain yang memperbodohkannya.

“Kalau boleh, jangan jadi macam budak-budak kerana masing-masing sudah cukup dewasa,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Oktober 2016 @ 8:31 PM