FAYE (kiri) jelaskan hubungan dengan bekas suami Elly sekadar antara pelakon dan pengarah.
FAYE (kiri) jelaskan hubungan dengan bekas suami Elly sekadar antara pelakon dan pengarah.

Berita perceraian pelakon Elly Mazlein dengan pengarah drama, Azmi Hatta, 40, pada 15 Oktober tahun lalu di Mahkamah Rendah Syariah Sepang heboh diperkatakan ramai serta mendapat liputan meluas pihak media.

Kes perceraian itu turut mencuri perhatian kerana ia turut mengaitkan nama pelakon muda Faye Kusairi, 29, yang didakwa sebagai orang ketiga yang menjadi punca perpisahan mereka.

Faye pula tampil membuat sidang media dan menganggap tuduhan itu adalah fitnah dan tidak berasas sama sekali.

Baginya, dakwaan Elly turut menjejaskan maruah keluarga­nya sekali gus nama baik dalam bidang seni tanah air.

Faye juga meminta Elly menarik balik tuduhan itu sekali gus memohon maaf dengannya.

Pelakon yang dikenali menerusi drama Istikharah Cinta itu juga memberi tempoh dua bulan kepada Elly dan merancang me­ngambil tindakan undang-undang jika pelakon itu gagal berbuat demikian .

Bagaimanapun, Elly pula dalam kenyataan balas mendakwa dirinya tidak pernah menuduh sesiapa pun membabitkan kes cerainya itu.

Ikuti temu bual wartawan Harian Metro, Ramlah Zainal ([email protected]) de­ngan Faye atau nama sebenarnya Dayangku Faratiwan Adnil Awang Kusairi mengenai tindakan yang akan diambil susulan kenyataan Elly berhubung kes berkenaan.

RAP : Apa komen anda apabila Elly membuat kenyataan dirinya tidak pernah menuduh sesiapa pun membabitkan kes perceraiannya? Pada masa sama, Elly juga dilaporkan tidak dapat menghalang jika anda ingin membawa perkara itu mahkamah.

FAYE: Dia (Elly) tidak meminta maaf pun dan tidak menjawab permintaan saya itu, tetapi apabila dia cakap tidak menuduh siapa-siapa maksudnya saya bukanlah puncanya.

RAP: Adakah anda sudah berbincang dengan peguam mengenai tindakan susulan yang akan diambil selepas kenyataan balas Elly berhubung perkara ini?

FAYE : Niat saya cuma ingin melindungi keluarga daripada cemuhan masyarakat dan menegakkan kebenaran yang saya bukan punca kes cerainya itu. Hal lain pula, anda perlu bertanya dengan peguam saya. Buat masa ini, saya belum ada masa untuk berjumpa atau berbincang dengan peguam lagi. Saya akan fikirkannya nanti.

RAP: Mungkin anda berasa lega apabila Elly memberi penjelasan dirinya tidak pernah menuduh sesiapa dalam kes perceraiannya dengan Azmi itu?

FAYE : Dalam kenyataan itu, bukan saya seorang saja yang namanya disebut. Jika akhbar itu main tulis saja nama saya dalam kes ini, jadi nama Elly pun begitu juga.

Saya tahu Elly amat sedih dengan apa yang berlaku. Selain itu, dia juga masih dalam tempoh berpantang selepas bersalin, baru-baru ini. Ia juga beri kesan kepada tahap emosinya juga.

Maksudnya, orang juga fitnah dia (Elly) dengan bercakap sayalah punca perceraiannya itu. Saya dapat rasakan ini kes fitnah atas fitnah.

RAP: Boleh anda jelaskan sejauh manakah hubungan anda dengan Azmi kerana ada dakwaan yang mengatakan anda memang rapat dengannya selepas bekerjasama dalam drama Istikharah Cinta?

FAYE : Hubungan saya dan Azmi sekadar pelakon dan pengarah di lokasi penggambaran drama dan tidak lebih dari itu.

Kami kenal ketika penggambaran drama bersiri Istikharah Cinta dan selepas setahun, baru kami kembali bekerjasama dalam projek telefilem Pontianak Sesat Dalam Kampung terbitan Zeel Productions.

RAP: Selepas apa yangg berlaku, bagaimana dengan perkembangan karier seni dan kehidupan peribadi ketika ini?

FAYE: Saya anggap ini dugaan dan cabaran daripada Allah SWT untuk menguji keimanan hamba-Nya. Saya hanya meneruskan aktiviti seni dan kehidupan seperti biasa.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Mac 2016 @ 12:25 PM