Elly Mazlein
Elly Mazlein
Hartati Hassan Basri


Kisah perceraian penyanyi dan pelakon Elly Mazlein, 36, dengan pengarah Azmi Hatta, 40, makin hangat diperkatakan apabila Elly mengatakan berpisah ketika dirinya hamil.

Ibarat kisah drama, ia makin menarik untuk diikuti dari satu episod ke satu episod apabila muncul pula orang ketiga. Pelakon Faye Kusairi, 29, dikatakan menjadi punca hingga rumah tangga yang dibina tidak sampai setahun itu berkecai di tengah jalan.

Mungkin Elly atau Azmi boleh saja memilih untuk mengunci mulut tetapi nampaknya sedikit demi sedikit cerita yang ingin ditutup terbuka jua. Ia bermula dengan cerita dalam satu ruangan gosip hingga Azmi tampil memberi kenyataan untuk mempertahankan dirinya dan juga orang ketiga yang dikaitkan sebagai punca.

Mengikut kenyataan Azmi dalam satu akhbar dalam talian, talak dijatuhkan di hadapan hakim di Mahkamah Rendah Syariah Sepang pada 15 Oktober tahun lalu.

Mereka berpisah selepas mendapat khidmat nasihat beberapa pihak dan talak dijatuhkan di hadapan hakim ketika kandungan Elly berusia empat bulan.

Pasangan ini berkahwin pada 9 November 2014 dan Elly selamat melahirkan anak perempuan pada 10 Mac lalu. Elly berkongsi cerita perceraiannya sehari selepas melahirkan anak tetapi enggan mengulas lanjut mengenai puncanya atas alasan mahu menjaga aib suami.

Faye juga tampil menafikannya malah turut meminta Elly untuk menarik balik tuduhan itu dan memohon maaf kepadanya. Dia mengatakan tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang jika Elly enggan berbuat demikian dalam tempoh ditetapkan.

Dalam hal ini, Faye harus tahu bukan Elly yang membuat kenyataan itu sebaliknya ia hanya daripada satu cerita gosip yang disiarkan dalam akhbar mingguan.

Jika perkara itu tidak benar, Faye boleh saja tampil menafikannya tetapi tindakan mahu membawa perkara itu ke mahkamah dirasakan kurang bijak dan dilihat terdesak.

Apabila tampil dengan kenyataan beremosi, orang akan mula menilai. Tambah pula hakikat sebenar bahawa sukar untuk orang yang melakukan kesalahan untuk mengakui kesalahannya.

Kalau cerita gosip dalam dunia hiburan, makin kuat menafikan makin meyakinkan peminat mengenai kebenarannya. Sebaliknya jika Faye di pihak yang benar dan ia hanya fitnah, lambat laun kebenaran akan terserlah juga.

Apabila Elly memilih untuk terus mengunci mulut, simpati masyarakat terus berpihak kepadanya. Ibarat lagu popularnya, Sabarlah Hati dan Usah Ditambah Bara Yang Tersimpan, Elly tidak perlu melayan perkara yang boleh menambahkan sakit di hatinya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 April 2016 @ 5:03 AM