KHALID turut berlakon dalam Hanyut.
KHALID turut berlakon dalam Hanyut.
ANTARA babak dalam Hanyut.
ANTARA babak dalam Hanyut.
ADI sentiasa menantikan peluang berlakon filem U-Wei.
ADI sentiasa menantikan peluang berlakon filem U-Wei.
DIANA gementar berlakon di bawah arahan U-Wei.
DIANA gementar berlakon di bawah arahan U-Wei.
ANTARA babak dalam Hanyut.
ANTARA babak dalam Hanyut.
U-WEI memberi arahan kepada Sofia ketika penggambaran Hanyut.
U-WEI memberi arahan kepada Sofia ketika penggambaran Hanyut.
Syafil Syazwan Jefri


Selepas empat tahun filem Hanyut dihasilkan dan menunggu waktu sesuai, akhirnya ia bakal ditayangkan di pawagam tempatan mulai 24 November ini.

Namun, bagi pengarahnya U-Wei Haji Saari, penantian itu belum membuatkannya tenang selagi dia belum menonton dan mendapat reaksi daripada penonton.

“Dalam setiap kegembiraan, ada kesangsian. Selagi belum ditayangkan, masih ada kebimbangan dalam diri saya sebagai pengarah,” katanya.

Menurut U-Wei yang juga pengarah filem Perempuan, Isteri & ... dan Kaki Bakar, dia meletak harapan tinggi untuk setiap filem yang dihasilkan, namun untuk filem Hanyut, tiada filem lain yang dapat dijadikan rujukan.

“Pihak pawagam tidak dapat memberikan jawapan spesifik mengenai jangkaan sambutan untuk Hanyut memandangkan belum ada rujukan daripada filem lain.

“Beritahu saya, filem apa yang hadir dengan latar zaman 1830-an dan jalan ceritanya sebegini? Tiada,” katanya.

Ditanya mengenai sasaran kutipan untuk filem yang menelan kos keseluruhan sehingga RM18 juta ini, U-Wei punya pandangannya tersendiri.

“Pendekatan saya untuk setiap karya adalah berbeza. Untuk filem ini, saya tak mahu terlalu berfikir mengenai jumlah kutipan. Memang hasil itu sangat penting, tetapi bukan keutamaan.

“Sebagai pembikin filem, menjadi tanggungjawab saya untuk menghasilkan karya yang bagus. Kalau bagus, filem itu akan dimainkan dan itu yang kita mahu,” katanya.

Di Indonesia, Hanyut sudah ditayangkan pada November 2014 dan menggunakan judul Gunung Emas Almayer. Responsnya positif dan khabarnya mendapat pelbagai reaksi daripada penonton di negara itu.

“Ramai pembikin dan pengkritik filem Indonesia berkata ia bukan filem terbaik, tetapi lebih baik daripada filem tempatan di sana,” katanya.

Meletakkan barisan pelakon hebat antaranya Peter O’Brien, Diana Danielle, Adi Putra, Sofia Jane dan Khalid Salleh, Hanyut mengisahkan mengenai Almayer lakonan Peter O’Brien, pedagang Belanda yang merantau dan hidup di Malaysia.

Berlatarkan abad ke-19, Almayer menyimpan impian untuk mencari gunung emas yang dikatakan wujud dan pada masa sama menjalani kehidupan bersama isteri tercinta.

Bukan sahaja memaparkan kisah manusia yang mengejar cita-cita dan cinta, Hanyut juga mengadunkan beberapa elemen lain seperti kuasa, politik, senjata dan pelbagai elemen bangsa.

Pelakonnya, Adi Putra yang memegang peranan sebagai Dain Maroola berkata, peluang berlakon dalam filem arahan U-Wei adalah peluang yang sentiasa dinantikan.

“Kalau sebagai pelakon, berlakon di bawah arahan U-Wei umpama belajar keseluruhan ilmu dalam selok-belok lakonan. Dia punya cara tersendiri dalam menterjemah lakonan pelakonnya,” katanya.

Bagi Diana pula, sebagai Nina dia perlukan tenaga yang mencukupi dan pengalamannya berlakon dalam filem ini adalah pengalaman terbaiknya sepanjang bergelar pelakon.

“Pada awalnya, ada rasa gementar kerana saya tidak pernah bekerja dengan U-Wei. Namun begitu, dia banyak memberi tunjuk ajar, sekali gus membantu saya berikan apa yang dia mahu dalam watak Nina,” katanya.

Tentunya ramai yang menantikan kehadiran filem ini di Malaysia pada 24 November ini, lebih-lebih lagi, apabila melihat sendiri kesungguhan U-Wei yang menayang poster gergasi Hanyut di Bangunan Cahaya Suria, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Oktober 2016 @ 10:14 AM