Adam Salleh

Yang buat kita bengang di bazaar Ramadan, beli karipap sardin yang ada cuma bawang dan kentang secuit. Beli cucur udang lebih kurang sama, apabila ditanya di manakah udangnya? Si penjual pula menyindir, “kamu beli badak berendam, ada nampak badak di situ?”

Haru biru! Insiden begitu lazimnya terjadi di bulan puasa, reda sajalah. Tetapi bagaimana realitinya dipalit dengan filem yang kita tonton. Melihat judulnya, menonton trailer, dimomok pula dengan bajet sebegitu besar, pastilah merangsang minda untuk ke pawagam namun hasilnya indah khabar daripada rupa, begitulah terjadi pada filem Hanyut, gunung emas yang digembar- gemburkan hanyut entah ke mana?

Minggu lalu, penulis menonton Hanyut, filem yang mencatat sejarah menelan belanja RM18 juta. Turut mencatat sejarah peribadi penulis kerana demi sokongan pada filem tempatan, penulis beli tiket sendiri berharga RM19 dan itulah tiket wayang paling mahal dibeli penulis.

Sesudah empat tahun terperap, Hanyut arahan U-Wei Shaari mulai ditayangkan di 51 pawagam di tanah air pada 24 November lalu. Filem adaptasi dari buku karya Joseph Conrad berjudul Almayer’s Folly diterbitkan pada 1895 mengisahkan kegigihan seorang lelaki Belanda, Kasper Almayer (lakonan Peter O’Brien) hidup dalam masyarakat tempatan, yang kita sendiri tidak jelas kejadian di Borneo atau di Melaka?

Almayer digelar Tuan Putih ini berkahwin dengan wanita tempatan, Mem (Sofia Jane) dapat anak bernama Nina (Diana Daniella) dan Nina pula mabuk kepayang dengan pemuda berdarah raja, Dain Maroola (Adi Putra). Yang membuatkan Almayer sanggup tidak mahu pulang ke negara kelahirannya, Belanda, kerana nafsu halobanya mahu sakau (kebas) harta yang ada di Tanah Melayu yang disebut gunung emas itu.

Apabila filem sudah dikait bajet sebegitu mewah dalam sejarah ketamadunan perfileman tanah air, ekspektasi peminat serta penggiat sinema tempatan tentulah sebegitu besar. Apatah lagi filem Hanyut ini menggunakan dana kerajaan, sebagaimana pendedahan dibuat Pengerusi Finas (Perbadanan Kemajuan Filem Nasional) Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib, filem Hanyut mendapat bantuan RM8.5 juta daripada kerajaan bagi menampung kos penerbitan RM18 juta, selain meluluskan peruntukan sebanyak RM500,000 untuk tujuan promosi.

Sejumlah RM6 juta daripada Mosti (Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi. Filem turut dibintangi Khalid Salleh (Orang Kaya Tinggi), Rahayu Saraswati (Tamina Jawa), Alex Komang (Abdullah) memperolehi pinjaman lagi RM10 juta daripada Bank Simpanan Nasional (BSN)

Dengan bajet RM18 juta itu, Hanyut sepatutnya menjadi filem epik skala besar yang buat kita teruja, terpana dan terpempan. Jika kita bandingkan Hanyut ini dengan filem Thailand, Queen Of Langkasuka arahan Nonzee Nimibutr atau filem Indonesia, Tenggelamnya Kapal van der Wijck arahan Sunil Soraya nampak kejam sangat, memadailah dibandingkan dengan Bukit Kepong arahan Jins Shamsuddin (Tan Sri).

Balai Polis Bukit Kepong yang diperbuat daripada kayu terletak di tebing Sungai Muar, sama eloklah seperti rumah Almayer diperbuat daripada kayu terletak di tebing sungai juga. Menilai lokasi Hanyut cuma berlegar-legar di tebing sungai, pembinaan set dan props ala kadar (dalam rumah di luar rumah) serta komitmen pelakon tambahan dihitung secara rawak termasuk pelakon utama tidak sampai 50 orang.

Kalau pun jumlah sebenar pelakon menjayakan Hanyut seramai 100 orang, nampak tidak berbaloi juga dengan kos pembikinannya begitu mahal. Lokasinya hanya di situ saja seperti pentas teater cuba bezanya Hanyut di tebing sungai, pentas teater di dalam auditorium.

Lainlah jika dalam hanyut ini seramai 1,000 pelakon tambahan terbabit seperti filem Gandhi arahan Richard Attenborough. Tidak pun ada adegan pertempuran antara pahlawan Melayu dengan tentera Inggeris dalam mencari gunung emas itu atau membabitkan berpuluh gajah.

Yang kita dapati dalam Hanyut ada juga pertempuan di kala malam, tetapi tidak jelas siapakah yang bertempur itu. Ada yang kata gunung emas yang diterjemahkan dalam Hanyut hanyalah sandaran dalam penceritaan yang mahu diterjemahkan adalah pemikiran Melayu.

Alangkah molek jika gunung emas didambakan Almayer itu dibuktikan (establish) dulu agar audien memahaminya. Dalam filem Puteri Gunung Ledang arahan S Roomai Noor (Datuk, Allahyarham) pada 1961, jambatan emas dituntut Puteri Gunung Ledang jika Sultan Melaka mahu meminangnya tiada, tetapi adegan rakyat Melaka dikerah menyerahkan kalung dan subang serta mendulang emas divisualkan.

Untuk mendapatkan ramai pelakon tambahan barangkali payah, apatah lagi berpuluh kapal untuk bertempur namun semuanya tidak menjadi masalah sekiranya pengarah dapat mengeksplotasi aplikasi grafik ke kesan khas melalui imej janaan komputer atau CGI.

Percintaan antara Nina dan Dain terlalu pantas, tiada konflik dan tragis berlaku. Tidak pernah melihat dalam mana filem membabitkan ‘tuan tanah kedawung’ kita dulu (Mat Salih) adanya anak dara mereka mengenyam seperti Nina. Bukankah Nina ini ketika kanak-kanak sudah dieksport bapanya ke Singapura agar belajar dan jalani kehidupan ala Barat, aneh pula bila balik ke tebing sungai itu mentalitinya ala Melayu.

Menilai kembali karya Joseph Conrad dalam Almayer’s Folly yang difahamkan berlaku sekitar 1830 lalu diterjemah dalam filem Hanyut, tiada apa yang boleh kita banggakan sebagai orang Melayu yang menjadi ‘ketuanan’ di Nusantara Melayu ini.

Sengkeknya pembesar Melayu hinggakan nak membeli senjata api terpaksa membodek Almayer, walhal di Laporan Khas Infografik Metro Ahad minggu lalu, dipaparkan kecanggihan senjata api sudah wujud pada zaman Melaka terutamanya ketika serangan Portugis 1511.

Ia dibuktikan menerusi catatan seorang ahli sejarah Portugis, Joao de Barros yang menjumpai 8,000 senjata api, panah silang (Cross bow) dan artileri ketika Portugis menawan Melaka. Pengarah Muzium Warisan Melayu Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Muhammad Pauzi Abdul Latif turut mengupas Melaka ketika diserang Portugis mempunyai organisasi tentera sistematik serta kecanggihan persenjataan zaman itu.

Natijahnya, novel Almayer’s Folly yang dijadikan filem Hanyut ternyata menghanyutkan pengkaryanya dalam pemikiran yang sempit.

Penulis Pengarang Rencana Metro Ahad

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Disember 2016 @ 9:56 AM