PENULIS (dua dari kanan) bersama Alex, seniwati Azean Irdawaty, Erma Fatima dan seorang rakan ketika bertemu di Kuala Lumpur pada 1995.
PENULIS (dua dari kanan) bersama Alex, seniwati Azean Irdawaty, Erma Fatima dan seorang rakan ketika bertemu di Kuala Lumpur pada 1995.
Oleh Roslen Fadzil

Hujung minggu lalu berita sedih melanda Nusantara dengan perginya seorang pemimpin tersohor, seorang tokoh penyiaran dan seorang lagi anak wayang.

Mereka yang saya maksudkan tidak lain daripada bekas Menteri Besar Kelantan, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, 84; pengulas sukan veteran Datuk Hasbullah Awang, 63, dan pelakon handalan Indonesia, Alex Komang, 53.

Kebetulan, ketiga-tiga mereka kembali ke rahmatullah pada waktu yang berdekatan iaitu antara Khamis dan Jumaat.

Allahyarham Hasbullah terlebih dulu menghembuskan nafas terakhir pada tengah hari Khamis akibat sakit jantung, disusuli Tok Guru Nik Aziz pada sebelah malam akibat kanser prostat.

Jumaat esoknya, Alex pula mengejutkan peminat di Indonesia dan Malaysia apabila meninggal dunia akibat kanser hati.

Lantaran itu laman sosial masyarakat di luar sana mula dipenuhi dengan ucapan takziah yang dimuat naik bertali arus. Luahan rasa sedih dan terkejut bersama doa terlihat dan ia membuktikan ketiga-tiga mereka banyak meninggalkan jasa yang mewangi dalam bidang masing-masing.

Kalau hendak diceritakan di sini, kehebatan mereka ketika hayat dulu memang tidak cukup kajang kertas dan halaman. Namun, apa yang boleh disimpulkan mereka memanfaatkan kerjaya masing-masing dengan penuh amanah dan tanggung jawab.

Aura Nik Aziz sangat hebat dan tidak keterlaluan dikatakan ‘Nik Aziz itu adalah Kelantan dan Kelantan adalah Nik Aziz’.

Pekerti mulia dan kesederhanaan beliau sangat dikagumi dan tidak hairanlah artis popular seperti Datuk Siti Nurhaliza, Amy Search serta Neelofa turut memuat naik foto kenangan mereka bersama beliau ke akaun Instragram masing-masing.

Hasbullah dan ulasan sukan selarinya pula memang satu fenomena. Sejak sekolah rendah di zaman 1970-an lagi saya sudah mula mengenali suara beliau dalam Arena Sukan bersama Datuk Rahim Razali.

Kalau adanya Pestabola Merdeka, Sukan Olimpik, Sukan Asia, Piala Thomas dan Sukan SEA, maka akan terdengarlah suara Hasbullah menyusun kata-kata berbunga dalam ulasannya itu.

Teringat komen arwah bapa saya dulu, “Hasbullah ni... kalau pasal komen.. huh bukan main!” Terbayang-bayang lagi saya suara besar Hasbullah apabila menyebut nama seperti Mokhtar Dahari, Santokh Singh, Marina Chin, Soh Chin Aun, Rabuan Pit, V Anggamah, Zaiton Othman, Nurul Huda Abdullah dan Misbun Sidek.

Saya juga nampak dalam berita di kaca TV Jumaat lalu, Rahim Razali akui Hasbullah menjadi tempat rujukannya ibarat macam ‘walking dictionary’ andai ada fakta sukan yang dia sendiri tidak ingat. Begitulah antara kehebatan cerita orang yang bernama Hasbullah Awang itu.

Menyebut nama Alex Komang, generasi sekarang lebih mengenali dia sebagai Gusti Adipati Handaya Ningrat dalam filem epik Puteri Gunung Ledang (PGL).

Pertembungan babak antara Gusti Adipati dan Hang Tuah lakonan, Datuk M Nasir memang akan diingati kerana kedua-duanya ikon ‘pertikaman lidah’ antara Melaka dan Majapahit pada zaman lampau.

Ada beberapa kali saya pernah bertemu pemenang Piala Citra ini di Kuala Lumpur termasuk dalam acara berkaitan filem serta anugerah.

Orangnya tinggi lampai dan berkarisma. Nada suaranya ada ‘weight’ dan buah bicaranya sedap didengar.

Selain Puan Sri Tiara Jacquelina Abdullah melamarnya untuk berlakon dalam PGL, lakonan Alex juga memantapkan filem Hanyut (Gunung Emas Almayer) arahan U-Wei Shaari. Pernah sekali saya diajak U-Wei menonton Hanyut ketika masih dalam pasca produksi dan lakonan Alex seperti biasa, mampu mengangkat kualiti sesebuah karya itu.

Anak murid Teguh Karya ini pernah membintangi filem seperti Doea Tanda Mata, Secangkir Kopi Pahit, Ca Bau Kan, Laskar Pelangi dan Surat Kecil Untuk Tuhan.

Saya lihat ramai rakan artis seperti Tiara, Datin Sofia Jane dan Melly Goeslaw mengutuskan salam takziah buat keluarga Alex atau nama sebenarnya Saifin Nuha. Dengan kehilangan insan yang berjiwa besar ini, kita yang masih berjalan di bumi ini hanya mampu menghadiahkan doa buat roh mereka. Al-Fatihah.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Februari 2015 @ 5:02 AM