Tahun ini bukan hanya filem dihasilkan lebih setahun lalu ditayangkan di pawagam, malah ada filem yang sudah lama siap, belum juga di­tayangkan kepada umum.

Contohnya Hanyut, empat tahun terperap sedangkan filem arahan U-Wei itu sudah ditayangkan di Indonesia pada 6 November tahun lalu. Namun untuk melihat ia ditayangkan di tanah air sendiri, tidak pasti bilakah masanya. Difahamkan, beberapa kali juga filem ini memohon tarikh tayangan dengan Syarat Wajib Tayang tetapi hingga kini belum ada tarikh pasti.

Apakah U-Wei tidak berani mempertaruhkan filemnya kerana situasi kurang memberangsangkan atau masih menanti tarikh diidamkan?

Dalam satu sidang media tahun lalu, U-Wei yang juga penerbit filem itu mengatakan, Hanyut tidak akan ditayangkan selagi tidak memperoleh dana RM2 juta untuk tujuan promosi.

U-Wei mahu Hanyut ditayangkan dengan promosi sebaik-baiknya dan untuk menjalankan promosi yang bagus memerlukan kos besar dan U-Wei membuat permohonan mendapatkan dana itu daripada Perbadanan Kemajuan Filem Negara (Finas).

Namun difahamkan, sehingga kini Finas tidak dapat membantunya mendapatkan wang diinginkan. Dalam keadaan U-Wei sekarang, bagaimana agaknya jalan penyelesaian sebaik-baiknya yang harus diambil.

Jika U-Wei mahu filemnya ditayangkan di Malaysia, kenalah berusaha mendapatkan dana diperlukan tanpa mengharapkan Finas.

Mungkin wang hasil dari keuntungan tayangan filem itu di Indonesia tahun lalu boleh disalurkan untuk promosi kerana ia ditayangkan di 100 panggung seluruh Indonesia.

Mungkin juga mengharapkan ada pihak lain bersedia memberi dana itu untuk merealisasikan impian pencinta filem tanah air untuk menyaksikan filem ini.

Kalau dulu U-wei mampu mendapatkan bantuan untuk pembikinan filem ini (RM18 juta) hasil daripada bantuan pelbagai pihak atas usahanya selama beberapa tahun dulu, mungkin tidak terlalu sukar untuk mendapatkan sumbangan RM2 juta itu.

Namun dengan keadaan ekonomi negara sekarang, mungkin sukar untuk pihak tertentu tampil menghulurkan bantuan.

Persoalannya, mengapa ketika mendapat peruntukan besar dulu tiada peruntukan untuk promosi, sebaliknya semua wang habis dilaburkan untuk pembikinannya.

Seharusnya sebagai penerbit, U-Wei perlu perancangan rapi dari awal berapa kos pre-produksi, kos produksi dan kos untuk lainnya seperti promosi.

Tidaklah berlaku apabila filem siap, duit pun habis. Untuk tayangan, mengharapkan bantuan lagi untuk promosi. Mungkin kali ini sukar bagi U-Wei menyebabkan hingga kini belum nampak jalan penyelesaiannya.

Jalan terakhir, mungkin tayangkan saja Hanyut tanpa promosi besar-besaran daripada membiarkan ia terus terperap.

Barangkali U-Wei boleh mencontohi langkah dilakukan pembikin Lelaki Harapan Dunia yang mendapat sokongan dari pelbagai negara yang menghargai karya berkaitan budaya.

Memandangkan Hanyut filem sejarah, mungkin U-Wei boleh mendapatkan bantuan dari negara yang berminat dengan karya sejarah.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Mei 2015 @ 12:21 PM