PELUMBA tekad cipta kejayaan.
PELUMBA tekad cipta kejayaan.
Mohd Amin Jalil


Seremban: Pasukan Kelab Basikal Perpatih Senawang (KBPS) akan mempertaruhkan pengalaman sepanjang menyertai beberapa kejohanan di negeri ini sebagai modal untuk melakar kejayaan pada Kejohanan Harian Metro Mountain Bike (HMMTB) 2016 di Lukut, Sabtu depan.

Pasukan itu menyenaraikan 15 pelumba termasuk tiga yang berpengalaman iaitu Rosfarizal Ahmad, Nik Mazlan Nik Zakaria dan Mohd Razif Nordin yang menduduki kelompok lima terbaik pada kejohanan HMMTB di Kedah baru-baru ini.

Pengurus pasukan, Jamari Abdul Rahman berkata, trek perlumbaan di Lukut bukan asing bagi mereka kerana pernah beraksi dalam kejohanan anjuran agensi pelancongan negeri ini.

Katanya, biarpun perlu merentasi landasan kereta api, pihaknya yakin pelumba KBPS tidak berdepan masalah besar untuk bersaing.

“Kami sudah menetapkan sasaran mempertahankan reputasi dengan sekurang-kurangnya berada di kedudukan lima terbaik bagi setiap kategori.

“Untuk itu, kami membuat persiapan rapi dengan menjalani latihan intensif bermula awal bulan ini termasuk kayuhan antara Senawang ke Port Dickson sejauh 95 kilometer.

“Latihan lasak di Gunung Angsi, Kuala Pilah turut dilakukan bagi memastikan ke
cergasan kami berada pada tahap terbaik,” katanya.

Jamari mengaku kejohanan berbasikal anjuran akhbar ini mencabar dan berprestij kerana setiap peserta memiliki kewibawaan dan reputasi besar.

“Kami tahu banyak pasukan memiliki nama besar dalam perlumbaan ini dan mengambil bahagian di Lukut nanti. Malah, mereka memiliki pelumba berpengalaman yang tentunya menjanjikan cabaran.

“Oleh itu kami tidak boleh mengambil mudah dan terlalu yakin dapat mencipta kejayaan sebaliknya perlu berwaspada dan bersedia dalam segala aspek,” katanya.

Beliau bagaimanapun yakin pelumba KBPS akan memperagakan aksi terbaik dan memberikan saingan mantap dengan memanfaatkan pengalaman lalu untuk mengenepikan pesaing lain.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Oktober 2016 @ 11:36 AM