PELUMBA PRTM sedia memperagakan aksi mantap.
PELUMBA PRTM sedia memperagakan aksi mantap.
Mohd Amin Jalil

Seremban: Walaupun pernah menggenggam beberapa kejuaraan dalam kejohanan mountain bike tempatan, namun skuad Polygon Racing Team Malaysia (PRTM) tidak mahu terlalu yakin ketika menyahut cabaran Kejohanan Harian Metro Mountain Bike (HMMTB) Grand Prix 2016, Sirkit 2 di Lukut, Port Dickson, Sabtu depan.

Sebaliknya, pasukan perlu lebih berwaspada kerana cabaran kali ini berbeza dan menyediakan mental dan fizikal dalam memastikan impian melakar kejayaan dalam direalisasikan.

Pengurus pasukan Marcus Leong berkata, mereka tidak mahu terlalu yakin untuk mendominasi kejohanan kali ini kerana menjangkakan banyak pasukan hebat bakal mengambil bahagian.

Katanya, sukar untuk mengagak tahap cabaran yang bakal dihadapi kerana prestasi pasukan baru tidak mudah dijangka, tambahan pula trek perlumbaan berbeza antara satu sama lain.

“Kami tidak boleh terlalu yakin untuk menang kerana ia bukan mudah dicapai apatah lagi dengan reputasi kejohanan MTB anjuran Harian Metro ini yang berprestij.

“Kejuaraan yang dicapai pada kejohanan lain sebelum ini bukan tiket mudah buat kami. Ia bukan bermakna kami pasti menakluk kejohanan di Lukut nanti.

“Apa yang penting kami perlu membuat persiapan terbaik untuk memastikan cabaran lebih bermakna dapat diperagakan dan seterusnya mengintai peluang menjulang kejuaraan,” katanya.

Menurutnya, gandingan Shahriel Haizat, Wong Ah Thiam, Mohd Arif Che Awang dan Mohd Zukri Tahir bakal dipertaruhkan pada kejohanan itu nanti.

Marcus berkata, pihaknya yakin keempat-empat pelumba berkenaan mampu membawa cabaran pasukan kerana mereka mempunyai pengalaman dan rekod cemerlang dalam beberapa kejohanan sebelum ini.

“Saya berharap, mereka tidak berdepan masalah untuk mengekalkan prestasi cemerlang itu dan memberikan saingan hebat kepada peserta lain bagi menobatkan pasukan.

“Saya yakin, mereka sudah bersedia dan berharap perancangan kami membuahkan hasil untuk kami melakukan aksi terbaik dan seterusnya merangkul kejuaraan buat julung kali pada edisi kali ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Oktober 2016 @ 5:09 AM