AHLI MACyT menjalani latihan di sekitar lapangan terbang KLIA.
AHLI MACyT menjalani latihan di sekitar lapangan terbang KLIA.

Seremban: Kelab Berbasikal Malaysia Airport Cycling Team (MACyT) mensasarkan kelompok 10 terbaik pada Kejohanan Harian Metro Mountain Bike (HMMTB) 2016 yang akan berlangsung di Lukut, Sabtu depan.

Pasukan itu yang memiliki 64 ahli, menyenaraikan enam pelumba termasuk Shamsudin Ismail, 41, yang menduduki tempat kelima kejohanan HMMTB di Marang, Terengganu pada 2013.

Pengurus pasukan, Mohd Asri Mansor berkata, kejohanan HMMTB sentiasa dinantikan ahlinya yang mahu menguji tahap kemampuan dan stamina masing-masing.

“Kami sedia mengharungi cabaran. Setiap peserta menjalani latihan di sekitar Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) sejak awal bulan lalu.

“Latihan adalah tiga kali seminggu termasuk petang dan malam. Ia penting bagi memastikan mereka tidak keletihan semasa kejohanan,” katanya.

Mohd Asri berkata, daripada enam pelumba, pasukannya mensasarkan dua daripada mereka menamatkan perlumbaan sekurang-kurangnya di tempat ke-10.

Katanya, lebih ramai ahlinya ingin menyertai HMMTB tetapi terpaksa dipecahkan kepada beberapa kejohanan lain yang berlangsung pada hari sama.

“Kami tidak memerlukan ramai pelumba untuk menyertai satu-satu kejohanan. Apa yang penting dapat menaiki podium,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Oktober 2016 @ 5:08 AM