BARISAN pelumba PSCC janjikan cabaran sengit.
BARISAN pelumba PSCC janjikan cabaran sengit.

Seremban: Kelab Berbasikal Komuniti Pasoh Satu (PSCC) dari Jempol akan menggunakan pengalaman bersaing di beberapa perlumbaan tempatan untuk melakar kemenangan di Kejohanan Harian Metro Mountain Bike (HMMTB) 2016 di Lukut, Sabtu depan.

Pengurus pasukan, Zulkifli Zaini berkata, pasukannya memiliki pengalaman selama enam tahun beraksi di beberapa kejohanan dalam negara.

Katanya, pasukannya bakal menampilkan 14 pelumba yang akan memberi saingan kepada pencabar lain.

“Kami mensasarkan sekurang-kurangnya seorang pelumba PSCC dapat menaiki podium,” katanya.

Zulkifli berkata, pihaknya mempertaruhkan dua pelumba, Rozaidi Rosli, 23, dan pelumba Orang Asli, Kuin Antak, 46, untuk merebut kejuaraan.

“Rozaidi pernah merangkul tiga kejuaraan di negeri ini sejak tahun lalu dan terbaru dinobatkan naib juara kejohanan di Parit Jawa, Muar, Johor pada Ogos lalu.

“Kuin pula pelumba Orang Asli berpengalaman dalam sukan lasak termasuk maraton. Dia sudah membuktikan kemampuan dalam beberapa kejohanan MTB termasuk di luar negeri ini,” katanya.

Beliau berkata, Rozaidi dan Kuin ditugaskan menerajui pasukan yang berhasrat mencipta kejutan dalam beberapa kategori dipertandingkan.

Menurutnya, kejohanan berlangsung di Port Dickson itu diharapkan membawa tuah kerana diadakan di negeri sendiri.

“Kami sudah membuat persediaan rapi dengan melakukan latihan intensif di Jelebu dan Jempol sejak awal September lalu.

“Laluan digunakan bagi latihan itu adalah ladang kelapa sawit, kawasan berbukit dan jalan raya,” katanya yang mengimpikan PSCC dikenali ramai selepas ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Oktober 2016 @ 5:06 AM