PELUMBA pasukan PACmen sedia memberikan cabaran sengit pada kejohanan HHMTB.
PELUMBA pasukan PACmen sedia memberikan cabaran sengit pada kejohanan HHMTB.
Mohd Amin Jalil

Seremban: Pasukan Kelab Berbasikal Adventure Pilah (PACmen) bakal mempertaruhkan tiga pelumba berwibawa bagi menyahut cabaran di Lukut, Port Dickson, Sabtu ini.

Mereka termasuk pelumba dua beranak iaitu Mohd Aidil Abdullah, 42, dan Mohamad Danis Mohd Aidil, 16, selain Peter Lee, 45, yang dilihat paling berpengalaman untuk memberikan saingan.

Pengurus pasukan, Zaiful Azri Yazid berkata, Mohd Aidil pernah mencatat kejayaan apabila berada pada kedudukan kelapan kategori veteran dalam acara jambori serta menaik podium sejak kejohanan MTB Harian Metro edisi Temerloh Pahang 2014.

Peter Lee pula menduduki kelompok lima terbaik dalam Kejohanan MTB Negeri Sembilan Nature 2015 manakala Mohamad Danis sudah menunjukkan prestasi memberangsangkan dalam beberapa kejohanan tempatan yang berlangsung di negeri ini.

“Biarpun kejohanan di Lukut itu menjanjikan cabaran sengit, saya yakin ketiga-tiga pelumba terbabit mampu memberikan saingan dan memperagakan aksi mantap berpandukan reputasi serta pengalaman mereka bersaing di peringkat tertinggi.

“Malah, saya percaya melalui persiapan serta latihan intensif sejak awal bulan lalu akan dapat membantu setiap pelumba memberikan aksi terbaik dan seterusnya mencipta kejayaan,” katanya.

Menurutnya, PACmen menyenaraikan 15 pelumba untuk memberikan cabaran dan mereka sudah menjalani latihan membabitkan trek berbeza termasuk jalan raya di sekitar Kuala Pilah, Bandar Seri Sendayan, ladang kelapa sawit serta kawasan Gunung Angsi.

Zaiful berkata, pihaknya begitu teruja mengambil bahagian walaupun sedar laluan untuk melakar kejayaan bukan mudah, lebih-lebih lagi dengan kehadiran ramai pelumba berprestasi tinggi turut bersaing.

Namun katanya, pelumbanya akan mencuba sebaik mungkin untuk berada dalam kelompok 10 terbaik terutama membabitkan kategori veteran menerusi gandingan Mohd Aidil dan Lee.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Oktober 2016 @ 6:39 AM