PELUMBA KSPC bergambar ketika membuat persiapan menyertai kejohanan HMMTB.
PELUMBA KSPC bergambar ketika membuat persiapan menyertai kejohanan HMMTB.

Seremban: Cabaran melalui laluan sepanjang landasan kereta api adalah antara halangan yang sangat dinantikan pasukan berbasikal Kelab Santai Potai Cycling (KSPC) dalam kejohanan Harian Metro Mountain Bike (HMMTB) 2016 di Lukut, Sabtu depan.

Ketua pasukan, Mohd Wan Chik Jaapar, 35, berkata, pengalaman menyertai kejohanan lalu akan digunakan semua pesertanya pada edisi kali ini.

Katanya, beberapa ahli kelab pernah menyertai kejohanan berbasikal di Gemas tahun lalu dan mereka turut melalui laluan kereta api.

“Kami (KSPC) berharap dengan pengalaman tidak seberapa dapat membantu pasukan dalam pertandingan ini,” katanya.

Beliau berkata, penyertaan dalam HMMTB adalah kejohanan kedua disertai pasukannya.

“Kami berharap dapat terus menimba pengalaman. Bagi kejohanan pada Sabtu depan, kami tidak mengharapkan kemenangan kerana peserta masih di peringkat amatur,” katanya.

Menurut Mohd Wan Chik, sebagai persiapan kejohanan, semua peserta sedang meningkatkan latihan selain menyelenggara basikal masing-masing.

“Penyelenggaraan awal begitu penting bagi mengelak basikal rosak ketika kejohanan,” katanya.

Katanya lagi, semua ahli kelab yang menyertai kejohanan mensasarkan untuk menamatkan perlumbaan selain menimba keseronokan dalam aktiviti riadah.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Oktober 2016 @ 11:28 AM