HUSAIN (lima dari kanan) ketika menghadiri mesyuarat  Penyelarasan HMMTB.
HUSAIN (lima dari kanan) ketika menghadiri mesyuarat Penyelarasan HMMTB.
Shaiful Shahrin Ahmad Fauzi


Bukit Merah: Mesyuarat Penyelarasan Harian Metro Mountain Bike Grand Prix (HMMTB) Siri Pertama Bukit Merah Laketown Resort (BMLR) di Bilik Mesyuarat di sini, semalam mendapat pelbagai maklum balas mengenai aspek teknikal dan penganjuran kejohanan itu.

Mesyuarat itu membincangkan mengenai aspek laluan yang pasti memberi cabaran hebat kepada peserta mengambil bahagian.

Turut hadir wakil agensi berkaitan, antaranya Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Majlis Daerah Kerian (MDK) serta pihak pengurusan BMLR.

Pengerusi HMMTB merangkap Pengarang Bersekutu (Rencana) Harian Metro Husain Jahit berkata, objektif penganjuran kejohanan berkenaan adalah untuk menarik lebih ramai peminat basikal lasak menyertai saingan berkenaan.

Katanya, umum mengetahui banyak kejohanan basikal yang dianjurkan jabatan kerajaan, badan bukan kerajaan dan syarikat korporat sehingga mendapat sambutan menggalakkan peminat aktiviti berbasikal khususnya.

“Kami mengambil kesempatan terhadap sambutan yang menggalakkan daripada peminat acara basikal untuk menganjurkan kejohanan ini.

“BMLR dipilih menjadi lokasi pertama buat tahun sebelum diikuti dua lagi pusingan kejohanan iaitu di Terengganu dan Selangor,” katanya.

Hadir sama pada mesyuarat berkenaan Setiausaha Majlis Daerah Kerian (MDK) Mohd Razif Ramli, Pengarah Teknikal HMMTB merangkap Pengarang Berita Harian Metro Noor Azam Ab Aziz dan Ketua Biro Harian Metro Perak Wan Asrudi Wan Hasan.

Menurut Husain, berdasarkan penganjuran kejohanan sebelum ini perlumbaan berkenaan menjadi platform bagi pelumba amatur untuk diserap menjadi pelumba negara.

Katanya, kejohanan turut menarik penyertaan peserta Eropah seperti Amerika Syarikat, Belanda, Jepun selain pelumba Asia Tenggara.

“Untuk pertandingan kali ini kami sudah mendapat pengesahan penyertaan satu pasukan dari Thailand,” katanya.

Sementara itu, Ketua Operasi Kumpulan Resort MK Land Mohamad Mukhriz Mohamad Roslan berkata, acara sukan basikal lasak berkenaan adalah yang pertama kali dianjurkan pihaknya membabitkan kerjasama Harian Metro.

Katanya, pihaknya menyambut baik usaha penganjur mengadakan kejohanan itu secara tidak langsung dapat mempromosikan taman tema itu serta menyemarakkan kempen Tahun Melawat Perak (TMP) tahun ini.

“Pelbagai tawaran istimewa dan acara yang akan dijalankan pada hari kejohanan itu nanti,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Julai 2017 @ 10:59 AM