SEMPOOT Cycling Team gigih melakukan latihan sempena HMMTB 2017 di Kerteh.
SEMPOOT Cycling Team gigih melakukan latihan sempena HMMTB 2017 di Kerteh.
Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Minat terhadap sukan berbasikal menyebabkan Sempoot Cycling Team (SCT) sentiasa mencuri masa untuk menyertai apa juga kejohanan berbasikal yang diadakan di seluruh negara.

Berikutan itu, ketua pasukan SCT, Ikmal Hisham Ghazali melihat penganjuran Harian Metro Mountain Bike Grand Prix (HMMTB) 2017 di Kerteh pada 7 Oktober ini sebagai platform terbaik pasukannya dalam merapatkan hubungan antara peserta.

“Bagi saya, sukan berbasikal ini mendapat sambutan daripada pelumba seluruh negara dan ia dapat menyatukan rakyat tanpa mengira peringkat usia dan latar belakang.

“Apabila kita berkumpul, kita tidak memikirkan hal lain tetapi segala yang dikongsi adalah mengenai sukan yang diminati serta saling bantu membantu sekiranya berlaku kejadian tidak diingini ketika kejohanan terutama di dalam hutan.

“Walaupun sibuk dengan tugasan harian sebagai tenaga pengajar di Kolej Vokasional Kuala Lipis, Pahang, kami tetap mencuri masa untuk melepaskan gian berbasikal,” katanya.

Menurutnya, inisiatif Harian Metro bersama rakan penganjur yang lain mewujudkan kejohanan seperti ini harus menjadi contoh dan pihaknya berharap ia dapat diteruskan pada masa akan datang.

Katanya, akhbar Harian Metro (HM) mempunyai pengikut yang tersendiri dan penganjuran kejohanan itu bukan saja dapat menyatukan pembaca tetapi turut membabitkan peminat basikal yang lain.

Mengenai persediaan menghadapi HMMTB, Ikmal Hisham berkata, walaupun tidak meletakkan sebarang sasaran tetapi pasukannya tetap gigih membuat latihan di jalan biasa dan laluan lasak bagi membiasakan diri.

“Kami juga memberi tumpuan di laluan kawasan hutan sebab ia lebih mencabar dan berisiko sekali gus berharap dapat memberi kekuatan kepada pasukannya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Oktober 2017 @ 11:43 AM