HAMIM menyampaikan sumbangan kepada pelajar.
HAMIM menyampaikan sumbangan kepada pelajar.
Oleh Hai Rozzaman Jalal


Selain memenuhi syarat kredit, seramai 35 siswa Fakulti Sains Teknologi dan Pembangunan Insan, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) kampus Pagoh memilih Sekolah Kebangsaan (SK) Bekoh, Tangkak, Johor untuk menonjolkan bakat kepemimpinan mereka.

Mereka menjalankan program UTHM Care selama dua hari dengan pelbagai pe­ngisian berbentuk khidmat masyarakat.

Pengarah program, Phang Hou Yee berkata, peserta program terdiri daripada siswa tahun satu Pengajian Statistik, Teknologi Matematik dan Teknologi Makanan.

Menurutnya, kursus itu memerlukan peserta me­ngambil bahagian dalam aktiviti khidmat sosial seperti motivasi, membina mini landskap, melukis mural, meneroka, kempen kitar semula dan gotong-royong bersama murid.

“Program ini dapat memupuk kesedaran kepada peserta UTHM peranan mereka di bilik kuliah, malah sebagai ejen penggerak masyarakat dalam kerja kesukarelawanan,” katanya.

Program dirasmikan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Hamim Samuri.

Hadir sama, Timbalan Pengarah Pusat Kokurikulum UTHM Sarebah Warman dan Guru Besar SK Bekoh Kamarudin Ibrahim.

Pemilihan sekolah itu kerana kedudukannya di kawasan luar bandar di samping 38 daripada 135 muridnya dalam kalangan anak Orang Asli dari Perkampungan Orang Asli Tanah Gembur.

Dia amat gembira UTHM memilih sekolahnya untuk mengadakan program yang memberi impak positif dalam meningkatkan kecemerlangan murid

“UTHM institusi pengajian tinggi pertama mengadakan program di sekolah ini dan kami amat berbesar hati dengan pemilihan ini” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Julai 2015 @ 5:01 AM